KUALA TERENGGANU: Primula Beach Hotel terus melakar kecemerlangan apabila menerima pengiktirafan sebagai ‘Hotel Amalan Lestari Terbaik’ di Anugerah Industri Pelancongan 2024 di Royale Chulan Kuala Lumpur, semalam.
Pengurus Besarnya, Suaibah Harun berkata, anugerah itu telah mengiktiraf komitmen teguh Primula Beach Hotel terhadap kelestarian dan usaha inovatifnya dalam mempromosikan amalan mesra alam dalam industri perhotelan.
Menurutnya, sejak tahun 2021, Primula Beach Hotel telah bekerjasama dengan TNB GSPARX untuk menggunakan sistem tenaga suria, mengurangkan jejak karbon hotel dengan ketara dan mempromosikan penggunaan tenaga boleh diperbaharui.
“Kami juga banyak menganjurkan acara-acara hijau seperti Beach Run Primula Eco Green pada Februari 2024, sebuah acara yang mempromosikan kesedaran kesihatan dan alam sekitar di kalangan peserta dan komuniti.
“Kami juga bekerjasama dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk inisiatif “Bring Our Turtle Back” pada tahun 2022 dan 2023, yang bertujuan melindungi dan memulihkan penyu, serta memelihara kehidupan marin,” katanya.
Tourism Industry Award 2024 kali ini mempertandingkan sebanyak 80 kategori yang melibatkan pelbagai bidang seperti agen pelancongan, seni budaya, perkhidmatan makanan dan lain-lain.
Mengulas lanjut, Suaibah berkata, pada tahun ini, pengurusan hotel juga menanam melon manis menggunakan kaedah fertigasi.
Menurutnya, Primula Beach Hotel turut menanam sayur-sayuran menggunakan teknik hidroponik dan fertigasi untuk mengeluarkan hasil tani yang segar dan lestari untuk para tetamu.
“Selain itu, hotel ini telah melaksanakan program kitar semula dalam pembuatan sendiri sabun menggunakan minyak masak terpakai.
“Inisiatif baharu yang diperkenalkan pertengahan tahun 2024 iaitu pengkomposan sisa makanan, menukar sisa organik kepada baja yang berharga, meningkatkan kesihatan tanah dan mengurangkan sisa yang dibuang ke tapak pelupusan.
“Kami sangat berbesar hati menerima anugerah Hotel Amalan Lestari Terbaik dan ia adalah pengiktirafan terhadap bukti dedikasi kami untuk kelestarian yang memberi manfaat kepada alam sekitar dan komuniti kami,” katanya. – UTUSAN










