BUTTERWORTH : Sejumlah 101 motosikal disita dalam Operasi Khas Bersepadu Samseng Jalanan di Lingkaran Luar Butterworth (BORR) di sini, awal pagi tadi.
Operasi tersebut berlangsung selama hampir sembilan jam bermula pukul 1.30 pagi.
Selain Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Pulau Pinang serta JSPT Bukit Aman, turut-serta dalam operasi terbabit ialah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen dan Polis Bantuan PLUS Berhad.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, operasi berkenaan bertujuan mencegah aktiviti lumba haram selain memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan ditetapkan bagi mengurangkan risiko berlakunya kemalangan.
“Hasil operasi yang berlangsung, sebanyak 250 motosikal serta dua buah kereta diperiksa dan daripada jumlah itu, sebanyak 81 buah motosikal telah disita oleh polis di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 termasuk mengeluarkan sebanyak 114 keping saman atas pelbagai kesalahan.
“Selain itu, pihak JPJ turut menyita 20 buah motosikal dan mengeluarkan 245 notis pemeriksaan kenderaan di bawah Seksyen 61(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya di sini, hari ini.
Tambah beliau, pihak JAS turut mengeluarkan dua notis serta dua kompaun dalam operasi berkenaan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974.
“Hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan pihak AADK pula mendapati, sembilan daripada 98 individu positif pelbagai jenis dadah.
“Kolaborasi pelbagai agensi dalam operasi seumpama itu adalah langkah proaktif untuk mencegah kegiatan samseng jalanan secara berterusan.
“Dalam hal ini, polis komited untuk terus menjalankan program advokasi bagi melahirkan generasi pengguna jalan raya yang patuh kepada peraturan dan undang-undang,” kata beliau.
Sehubungan itu, Hamzah turut menasihatkan orang ramai khususnya golongan remaja supaya tidak terlibat dalam aktiviti lumba haram atau apa jua kegiatan samseng jalanan yang boleh mengancam diri sendiri dan orang lain.-UTUSAN










