KUALA LUMPUR: Polis masih menjalankan siasatan lanjut mengenai kes kehilangan kira-kira RM2 juta dalam akaun simpanan membabitkan sebuah bank tempatan di Kuala Kangsar, Perak.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya sedang mengesan pemilik akaun bank serta dari mana wang yang telah dicuri dimasukkan.
“Walaupun suspek utama yang merupakan kakitangan bank berkenaan telah meninggal dunia, siasatan kes ini tetap akan diteruskan.
“Kita perlu siasat bagaimana sistem (perbankan) itu diceroboh dan kita perlu teliti agar kes ini tidak terkubur,” katanya dalam sidang akhbar Pejabat JSJK, Menara KPJ di sini, hari ini.
Pada 12 Julai lalu, media malaporkan pihak polis sedang menyiasat kehilangan wang berjumlah lebih RM2 juta daripada dua akaun tetap sebuah bank di Kuala Kangsar di Perak.
Ramli dilaporkan berkata, hal berkenaan disedari pemilik akaun ketika hendak membuat pengeluaran apabila mendapati wang mereka telah dikeluarkan dan akaun ditutup.
Siasatan dalaman oleh pihak bank mendapati salah seorang petugas mereka telah melakukan pengeluaran wang berkenaan, bagaimanapun beliau ditemukan meninggal dunia pada 5 Julai lalu. – UTUSAN










