Polis lepaskan tembakan, pemandu van cuba langgar anggota polis

Polis lepaskan tembakan, pemandu van cuba langgar anggota polis

SEORANG lelaki (duduk) ditahan kerana disyaki melanggar anggota polis sebelum cuba meloloskan diri dalam kejadian di Jalan Datuk Ismail Hashim, Bayan Lepas, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Polis terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah tayar depan sebuah van yang dipandu seorang lelaki yang cuba me­langgar anggota polis dalam kejadian di Jalan Datuk Ismail Hashim, di Bayan Lepas di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu, polis turut menahan suspek iaitu lelaki tempatan berusia yang berumur 36 tahun yang juga pemandu van tersebut.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintedan Kamarul Rizal Jenal berkata, sepasukan polis trafik yang sedang menjalankan Op Perdagangan di Jalan Tun Dr. Lim Chong Eu telah mengesan sebuah van dalam keadaan mencurigakan sebelum polis cuba menahan kenderaan tersebut.

“Anggota polis seterusnya bertindak mengejar van tersebut sehingga ke Jalan Datuk Ismail Hashim.

“Polis terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah tayar depan kenderaan itu selepas pemandunya cuba melanggar anggota polis sebelum van berkenaan terbabas di bahu jalan,” katanya di sini.

Menurutnya, susulan itu, polis telah menahan seorang lelaki tempatan yang juga pemandu van tersebut.

“Pemeriksaan awal mendapati dia tiada lesen memandu dan mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau.

“Dalam kejadian itu juga, polis mengejar van itu iaitu kira-kira 5 kilometer itu dan turut berlaku beberapa kemalangan dengan kenderaan lain yang diparkir di tepi jalan dengan van dipandu suspek,” katanya.

Kamarul Rizal berkata, ujian air kencing terhadap lelaki itu mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Pemeriksaan juga mendapati suspek mempunyai rekod dikehendaki polis bersabit de­ngan kes seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Suspek kini direman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat dibawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cuba bunuh dan Seksyen 39 Akta Senjata 1960 melepaskan tembakan di tempat awam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×