PN tumpu pecutan akhir untuk lakar kemenangan

PN tumpu pecutan akhir untuk lakar kemenangan

AHMAD Samsuri Mokhtar (lima, kanan) berbual mesra bersama sebahagian imam ketiga pada Majlis Penyerahan Bayaran Bantuan Khas ‘One Off’ Tahun 2023 kepada imam ketiga masjid mukim negeri Terengganu di Kuala Terengganu, semalam. – UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Perikatan Nasional (PN) kini melakukan pecutan gerak kerja kempen pada saat akhir untuk melakar kemenangan dalam Pilihan Ra­ya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Pulau Pinang pada Sabtu ini.

Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar ber­kata, setakat ini, gerak kerja yang dilakukan jentera PN bertambah baik berbanding bebe­rapa siri PRK lain sebelum ini.

Malah, katanya, kerjasama se­mua jentera dalam PN juga se­makin baik dalam membantu ke­menangan calon PN.

“Jentera PN kita telah ada pe­rubahan berbanding jentera yang kita ada dalam PRK yang lain sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Bayaran Bantuan Khas ‘One Off’ Tahun 2023 kepada imam ketiga masjid mukim negeri Terengganu di Wisma Darul Iman semalam.

Sebanyak RM194,400 diagih­kan kepada 324 imam ketiga mas­jid mukim yang dibayar untuk tahun 2023.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, Pas yakin untuk melakar kemenangan berdasarkan maklum balas pimpinan parti dan kumpulan penyelidik yang berada di lapangan DUN Sungai Bakap ketika ini.

“Setakat ini, momentum semakin baik ke arah kemenangan (calon PN – Abidin Ismail).

“PRK adalah seumpama permainan bola sepak, bola itu bulat. Gol terbuka untuk kedua belah pihak, tapi dalam situasi sekarang, dengan pelbagai isu di peringkat nasional dan pe­ringkat tempatan, saya percaya insyaAllah, rasa sangat positif untuk mencapai kemenangan,” katanya.

PRK DUN Sungai Bakap pada Sabtu ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PH, Dr Joohari Ariffin dan calon PN, Abidin Ismail, yang diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh ber­kempen 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon bertan­ding Sabtu lepas hingga 11.59 malam, 5 Julai ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN