PM umum peruntukan RM1 juta pembinaan Kompleks Pendidikan Al-Ummah - Utusan Malaysia

PM umum peruntukan RM1 juta pembinaan Kompleks Pendidikan Al-Ummah

ANWAR Ibrahim berucap pada lawatan muhibbah di Kompleks Pendidikan Al-Ummah di Chepor, Ipoh hari ini. - UTUSAN/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Perdana Menteri mengumumkan peruntukan RM1 juta untuk pembangunan Kompleks Pendidikan Al-Ummah (KPU) di sini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akan meminta Setiausaha Kerajaan Negeri untuk mengingatkan Unit Penyelarasan Jabatan Perdana Menteri mengenai peruntukan tersebut.

Beliau berjanji peruntukkan tersebut akan diterima dalam tempoh satu atau dua minggu lagi.

“Yang lain-lain (pembangunan kompleks), mungkin kita berbincang lagi dan teliti supaya pegawai-pegawai dapat teliti. Kita runding dengan kerajaan negeri bagaimana boleh kita pastikan projek (fasa) pertama ini siap mengikut jadual,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika lawatan Muhibbah dan Majlis Hi-Tea bersama Kompleks Pendidikan Al-Ummah ABIM (KPU) Chepor di sini hari ini.

Pembinaan Kompleks Pendidikan Al-Ummah Fasa 1 dimulakan pada tahun 2016 yang dibangunkan dengan kos RM6 juta.

KPU merancang membina keseluruhan kompleks dianggarkan bernilai RM35 juta.

KPU dibangunkan bagi menangani masalah kepadatan murid serta guru dan kakitangan sokongan bagi tiga institusi setelah 36 tahun beroperasi iaitu pra-sekolah, Sekolah Rendah Islam al-Ummah dan Madrasah Al-Hikmah dengan hampir seramai 2,200 orang.

Dalam pada itu, Anwar memuji usaha pihak pengurusan Kompleks Pendidikan Al-Ummah yang berusaha mengumpul RM6 juta untuk pembinaan keseluruhan kompleks tersebut.

Beliau juga berterima kasih kepada kerajaan negeri Perak dan Majlis Agama Islam Perak, yang memberikan tanah wakaf seluas lima ekar untuk pembinaan kompleks tersebut.

“Ia termasuk usaha rakan-rakan, masyarakat sekeliling yang sangat luar biasa terhadap projek ini.

“Tak banyak tempat yang saya lihat mengambil inisiatif sendiri untuk mengumpulkan hampir RM6 juta, ikhtiar sendiri,” katanya.

Menurutnya, usaha sedemikian adalah semangat dan kejituan, semangat untuk mengupayakan usaha sendiri.

“Ini sangat penting, kadang-kadang kita salah faham, kita minta sumbangan orang lain tetapi kita tidak mengeluarkan sedangkan mendirikan masjid itu tuntutan semua.

“Satu masjid didirikan hanya daripada peruntukan dari atas itu tidak memenuhi semangat dan roh bahawa ia menjadi hak masyarakat tetapi dalam usaha rakan-rakan di sini luar biasa.

“Ini satu permulaan dan contoh yang baik kepada umat bagaimana inisiatif ikhtiar saudara-saudara mengupayakan projek pendidikan yang sangat penting ini,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×