PETALING JAYA: Pembunuhan Pengerusi Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh merupakan pembunuhan paling kejam dan dilaksanakan bagi menggagalkan rundingan untuk menamatkan pembunuhan beramai-ramai di Gaza yang sudah meragut lebih 40,000 nyawa.
Mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan itu jelas sekali hanya boleh dilakukan dalam persekitaran yang bebas daripada hukuman.
“Hanya mereka yang tidak berhati perut dan tidak waras sahaja yang akan melihat tiada keperluan untuk meningkatkan tekanan terhadap Israel untuk menghentikan pembunuhan.
“Saya amat bimbang mengenai apa mesej tragedi ini kepada rakyat Palestin yang telah menjadi sasaran kekejaman, kepayahan dan penderitaan selama berdekad,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.
Media antarabangsa melaporkan bahawa Ismail Haniyeh yang juga bekas Perdana Menteri Palestin dibunuh di kediamannya di Tehran, Iran hari ini bersama seorang pengawal peribadinya.
Ismail berada di Tehran bagi menghadiri majlis angkat sumpah Presiden baharu Iran, Masoud Pezeshkian, pada Selasa lalu.
Perdana Menteri berkata, pengkritik yang mengkritik pertemuan beliau dengan Ismail Haniyeh pada Mei lalu gagal untuk menghargai hasrat bekas Perdana Menteri Palestin itu untuk melihat Asia Barat kembali aman dan maruah Palestin dikembalikan semula.
“Saya amat berduka dengan kehilangan seorang sahabat dan pembela yang berani untuk rakyatnya. Al-Fatihah,” katanya. –UTUSAN










