Piala FA: Kedah beri tentangan sengit kepada JDT biarpun tewas - Utusan Malaysia

Piala FA: Kedah beri tentangan sengit kepada JDT biarpun tewas

JOSE Cleylton Dos Santos (kiri) beraksi pada aksi separuh akhir pertama Piala FA musim lalu di Stadium Darul Aman. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Johor Darul Ta’zim (JDT) dipaksa berhempas pulas dalam aksi penuh dramatik sebelum menang 2-1 ketika menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada perlawanan separuh akhir pertama Piala FA, sebentar tadi.

Pasukan tuan rumah terlebih dulu memulakan asakan menerusi kapten mereka, Sony Norde pada minit ke-7 namun rembatan lemahnya dari luar kotak penalti tepat ke dakapan penjaga gol Harimau Selatan, Syihan Hazmi.

Tiga minit kemudian, giliran JDT menguji gawang Sang Kenari melalui sepakan percuma Juan Muniz yang singgah di palang setelah penyerang mereka, Bergson Da Silva dijatuhkan di luar kotak penalti.

Gol pertama perlawanan hadir pada minit ke-23 menerusi Oscar Arribas apabila sayap lincah JDT itu bijak melepasi perangkap ofsaid untuk mudah menewaskan penjaga gol KDA FC, Kalamullah Al Hafiz.

BERGSON Da Silva dikawal ketat pertahanan KDA pada aksi separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Darul Aman. -UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN

Gawang Sang Kenari bocor lagi pada minit ke-31 hasil percubaan dilakukan Bergson namun gol itu dibatalkan setelah semakan video bantuan pengadil (VAR) mendapati penyerang dari Brazil itu berada dalam kedudukan ofsaid.

Seminit sebelum rehat, JDT sekali lagi memberi ancaman, kali ini menerusi gerakan dilakukan Arif Aiman. Meskipun dikawal ketat Ariff Farhan, pemain sayap kebangsaan itu berjaya melakukan percubaan yang terkena tiang sebelum bola kembali melantun ke dakapan Kalamullah.

Pada minit ke-53, Oscar Arribas sekali lagi memiliki peluang untuk membuat jaringan. Pemain itu bagaimanapun gagal menewaskan Kalamullah yang ketika itu berada dalam kedudukan satu lawan satu.

Kemasukkan Ebenezer Assifuah menggantikan Milos Gordic kembali ‘menghidupkan’ barisan serangan Sang Kenari. Gerakan serangan yang dilipat ganda membolehkan Fayadh Zulkifli melakukan percubaan pada minit ke-62 yang sedikit tersasar.

Di sebalik asakan tuan rumah yang berterusan, pasukan pelawat sesekali turut melancarkan serangan. Pada minit ke-84, rembatan kaki kanan pemain gantian, Francisco Geraldes mengenai tiang kiri gawang Sang Kenari.

Hanya tiga minit selepas itu, Stadium Darul Aman yang dipenuhi 22,500 penonton bergema apabila KDA FC menyamakan kedudukan menerusi Habib Haroon. Segalanya bermula apabila tandukan Assifuah gagal ditampan kemas Syihan, menyebabkan bola bergolek ke arah Habib yang terus menolak bola ke gawang.

Gawang JDT hampir bocor sekali lagi tidak lama selepas itu namun sepakan percuma diambil Sony Norde sekadar singgah di palang.

Harapan KDA FC untuk mendapatkan penalti pada masa tambahan tidak kesampaian apabila semakan VAR mendapati tiada kesalahan dilakukan pemain JDT meskipun pemain tuan rumah mendakwa bola terkena tangan salah seorang pemain pelawat.

Harapan tuan rumah untuk sekurang-kurangnya seri berkecai apabila Romel Morales menghulurkan kakinya seminit sebelum perlawanan tamat, untuk menyambut bola tandukan rakan sepasukan bagi membolehkan JDT menang 2-1. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN