MARANG: Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan sebanyak RM7.23 bilion untuk Terengganu pada tahun ini bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah itu adalah peningkatan berbanding RM5.99 bilion yang telah disalurkan pada tahun 2022.
Menurutnya, ia adalah bukti bahawa Terengganu tidak pernah dipinggirkan walaupun berlainan fahaman politik dengan kerajaan Persekutuan.
Tambahnya, sebelum beliau menjadi Perdana Menteri, keseluruhan perbelanjaan mengurus agensi persekutuan, pemberian pada negeri dan pembangunan negeri Terengganu adalah sebanyak RM5.9 bilion.
“Pada tahun 2024, jumlah itu kita tambah daripada RM5.9 bilion iaitu hampir RM6 bilion kepada RM7.23 bilion untuk keseluruhan pembangunan Persekutuan dan projek negeri, maksudnya bertambah.
“Tak berapa benar Terengganu tak diberi perhatian. Dalam kerajaan pimpinan, saya beri jaminan pada Menteri Besar kalau ada cadangan yang baik dan selari dengan dasar bersama, kita akan laksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Loji Janakuasa Solar Cypark Solar Merchang, di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.
Anwar menambah, setiap peruntukan yang disalurkan itu diberi keutamaan dalam beberapa bidang.
“Semua negeri pun begitu, kepimpinan Kerajaan Persekutuan daripada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, menteri-menteri kanan, ketua setiausaha semua duduk bersama dengan kerajaan negeri untuk membincangkan keutamaan tersebut.
“Kadang-kadang keutamaan di peringkat kerajaan persekutuan tidak sama dengan kerajaan negeri, kita ubah suai untuk memenuhi keperluan tersebut
“Keutamaan yang sering saya tekankan mesti menyantuni rakyat paling susah, noktahkan kemiskinan tegar. Terima kasih kepada seluruh jentera negeri yang beri kerjasama baik dapat memenuhi matlamat tersebut,” katanya.
Perdana Menteri berkata, keutamaan kerajaan adalah untuk mengurangkan beban rakyat, melaksanakan projek tebatan banjir yang penting untuk mengurangkan kehilangan harta benda dan menyelamatkan nyawa rakyat. – UTUSAN










