PETALING JAYA: Pertumbuhan luar biasa ekonomi negara sebanyak 5.8 peratus ekonomi pada suku kedua sedang membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.
Ahli Lembaga Pengarah Bank Negara Malaysia, Dr. Nungsari Ahmad berkata, ini kerana peningkatan permintaan produk dan perkhidmatan mendorong industri memerlukan lebih banyak tenaga pekerja bagi memenuhi pengeluaran.
“Pertumbuhan luar biasa ekonomi Malaysia itu akan terus merendahkan kadar pengangguran namun dalam masa sama rakyat sedang mengeluh kerana kadar upah masih secara purata rendah.
“Namun satu lagi, negara masih berdepan isu pekerja mahir yang tidak mencukupi bagi mengisi ruangan kekosongan dalam industri yang melonjak,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jabatan Perangkaan (DOSM) melaporkan ekonomi Malaysia berkembang 5.8 peratus pada suku tahun kedua 2024.
Peningkatan tersebut sekali gus mencatatkan pertumbuhan tertinggi sejak suku keempat 2022 yang mencatatkan 7.4 peratus.
Mengulas lanjut, Nungsari berkata, bagi mengekalkan momentum pertumbuhan pada suku kedua tahun ini, negara sepatutnya meningkatkan inisiatif dalam mewujudkan lebih banyak syarikat tempatan yang berdaya saing dan mampu berkembang terutamanya bagi pasaran eksport.
“Malaysia memerlukan lebih banyak pelaburan baharu dan pertumbuhan syarikat-syarikat tempatan baharu, terutamanya bagi pengeluaran produk baharu,” katanya.
Kata beliau, momentum pertumbuhan ekonomi turut bergantung kepada keadaan pasaran antarbangsa dan statistik pertumbuhan terhadap dagangan negara.
Justeru, menurut Nungsari, bagi meningkatkan lagi pencapaian tahunan pertumbuhan ekonomi negara, Malaysia perlu mengubah landskap pelaburan bagi menarik lebih ramai pelaburan asing.
“Antara faktor menarik pelaburan asing ialah menerusi kekuatan institusi perundangan dengan jelas dan adil, keselamatan data dan kemampuan negara untuk melahirkan tenaga manusia yang lebih mahir dan kreatif akan mendorong kepada lonjakan pertumbuhan ekonomi negara.
“Sehubungan itu, bagi merealisasikan pencapaian tersebut, negara kini dilihat memerlukan banyak tenaga kelulusan dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), bagi meningkatkan lagi industri pembuatan,” katanya.
Sementara itu, pakar ekonomi, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, sekiranya, negara tidak mampu melahirkan tenaga yang mampu berdaya saing untuk mewujudkan produk baharu dalam masa yang sama meneroka pasaran baharu, ini akan mengakibatkan pelabur tidak berminat untuk melabur.
“Ini kerana pelabur luar mendapati negara kita masih lagi kurang pencapaian untuk meningkatkan inovasi dalam sektor pembuatan dari segi teknologi yang digunakan,” jelas beliau.
Katanya, lebih banyak pekerja berkemahiran dan profesional akan mampu mewujudkan daya saing yang lebih sengit dengan negara lain yang juga mempunyai bilangan banyak pekerja mahir dalam bidang STEM. – UTUSAN










