KUALA LUMPUR: Pertama kali menjadi juara pertandingan, penyanyi Aepul Roza menganggap kemenangan dalam program The Hardest Singing Show sebagai perkara paling bermakna dalam hidupnya.
Katanya, selepas menyertai pelbagai pertandingan, kemenangannya dalam program itu, yang berlangsung semalam, memberi peluang dia merasakan kemanisan bergelar juara.
“Saya bermula sebagai peserta My Starz LG musim ketiga. Bagaimanapun, perjalanan saya dalam pertandingan itu hanya sampai ke peringkat separuh akhir sahaja.
“Drama Band juga pernah bertanding dalam sebuah program realiti. Tapi kami tidak menang.
“Cabutan bertuah juga saya tak pernah menang. Dulu saya pernah masuk pertandingan mewarna, itu pun sekadar menang hadiah sagu hati.
“Jadi boleh saya kata, saya pertama kali merasakan momen kemenangan itu menerusi kejuaraan dalam The Hardest Singing Show,” katanya.
Aepul menepati ramalan apabila dinobatkan juara program tersebut sekali gus melayakkan dia membawa pulang trofi berserta RM150,000.
Naib juara digenggam penyanyi Aida Jebat yang membawa pulang trofi dan RM20,000, sementara Stacy ditempat ketiga (menang trofi dan RM10,000).
Aisha Retno, Putra Mohamad dan Zizi Kirana masing-masing di kedudukan ke empat, lima dan enam, membawa pulang trofi dan RM5,000.
Aepul atau nama sebenarnya, Noor Syaiful Muhd. Zalaludin dalam pada itu juga menganggap kejuaraan tersebut sebagai kemenangan seluruh pasukan yang bertungkus lumus bekerja di belakangnya sepanjang 10 minggu berentap dalam program berkenaan.
“Saya reda, menang atau tidak, saya okey. Ini kerana pasukan saya telah melakukan yang terbaik, lebih-lebih lagi untuk persembahan lagu It’s My Life.
“Kami sudah pun meraikan selepas berjaya mementaskan persembahan tersebut kerana ia adalah paling sukar dan berisiko.
“Alhamdulillah, rezeki menang Allah bagi kepada kami. Kejayaan ini bukan milik saya seorang tetapi juga seluruh pasukan saya. Mereka bersungguh dan tak berkira,” katanya.
Pentas akhir The Hardest Singing Show dijurikan Penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Edry Abdul Halim dan Zizan Razak selain pelakon, Adlin Aman Ramli sebagai juri jemputan. Program tersebut diserikan dengan kemunculan Nabil Ahmad dan Rina Nose selaku pengacara.











