Penyediaan elaun Tingkatan Enam selaras keperluan semasa - Fadhlina - Utusan Malaysia

Penyediaan elaun Tingkatan Enam selaras keperluan semasa – Fadhlina

FADHLINA Sidek (dua dari kiri) menyerahkan sijil penyertaan selepas Daurah Hadis 40 Imam Nawawi Kementerian Pendidikan Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 di Hotel Seri Malaysia, Kangar, Perlis, hari ini. -UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Cadangan penyediaan elaun kos sara hidup kepada pelajar Tingkatan Enam yang sedang dipertimbangkan oleh Kementerian Pendidikan ketika ini dilihat sebagai satu keperluan semasa khususnya buat golongan itu.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, cadangan tersebut masih di peringkat perincian di mana ia adalah merupakan hasil komitmen kementerian dan kerajaan bagi penjenamaan semua Tingkatan Enam.

Beliau berkata, kementerian akan melihat beberapa perkara dalam pelaksanaan itu membabitkan aspek pemberian elaun tersebut dan peranan peringkat pentadbiran Tingkatan Enam yang semakin luas pada ketika ini.

“Kita yakin pelajar Tingkatan Enam mempunyai potensi sangat baik dan akan menjadi salah satu akses pendidikan di negara ini. Perkara ini (penyediaan elaun) akan diangkat dahulu di peringkat belanjawan dan kemudian ke peringkat Kementerian Kewangan bagi melihat kepada keperluan-keperluan yang ada ketika ini.

“Jadi ini bukan perkara asing dan kita melihat ia sebagai satu keperluan semasa di samping perkara-perkara melibatkan infrastruktur lain juga,” katanya kepada pemberita selepas Daurah Hadis 40 Imam Nawawi KPM Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 di Hotel Seri Malaysia, di sini hari ini.

Terdahulu, media melaporkan mengenai pertimbangan Kementerian Pendidikan bagi penyediaan elaun kos sara hidup pelajar Tingkatan Enam sebagai sebahagian usaha menarik lebih ramai pelajar menyertai program itu.

Selain itu, elaun untuk guru penolong kanan Tingkatan Enam dan bantuan geran per kapita lebih tinggi bagi mata pelajaran Sijil Tinggi Pendidikan Malaysia (STPM) juga turut dipertimbangkan oleh Kementerian Pendidikan.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, kemasukan pelajar ke Tingkatan Enam juga dijangka meningkat khususnya selepas kementerian memberikan autonomi kepada sekolah untuk memilih mana-mana pelajar bagi mengikuti pengajian dalam program itu.

“Jadi kita lihat peningkatan itu akan berlaku lebih banyak dengan adanya kuasa autonomi ini bagi mengambil pelajar-pelajar yang sekolah rasakan layak dan berminat untuk menyambung pengajian ke Tingkatan Enam,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai program tersebut, Fadhlina berkata, Kementerian Pendidikan mengambil inisiatif berkenaan bagi memperluaskan komitmen dalam memastikan penghayatan Hadis 40 dapat dilaksanakan dan diterjemahkan dengan baik buat kalangan murid beragama Islam.

Katanya, program yang berlangsung selama tiga hari itu akan diisi dengan beberapa pengisian melibatkan penyertaan daripada beberapa pihak termasuk ustaz dan ustazah dalam memastikan penghayatan Hadis 40 dapat dilaksanakan dengan baik.

“Ini julung kalinya kita laksana bagi peringkat kebangsaan dan selepas ini, akan ada daurah-daurah di peringkat lain melibatkan penyertaan berlainan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN