PONTIAN: Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) memberi amaran kepada pengusaha sebuah kilang yang menimbulkan kacau ganggu bunyi bising supaya tidak lagi beroperasi sehingga larut malam.
Yang Dipertuanya, Ab. Razak Abd. Khalid berkata, hasil siasatan pasukan pegawai penguat kuasa memang benar ada aktiviti kilang dijalankan sehingga lewat malam dan menimbulkan bunyi bising, sekali gus mengganggu keselesaan masyarakat di sekitarnya.
“Bahagian penguatkuasaan terus melakukan pemantauan dari semasa ke semasa terhadap aktiviti yang dijalankan oleh kilang tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan kira-kira 1,000 penduduk Kampung Sungai Terus, Kayu Ara Pasong dekat sini mendakwa mengalami gangguan bunyi bising dari sebuah kilang membuat acuan rumah pasang siap yang beroperasi sehingga tengah malam.
Mereka mendakwa pengurusan kilang tersebut memungkiri janji semasa perjumpaan dengan penduduk pada bulan Ramadan lalu untuk memberhentikan operasi hingga pukul 10 malam.
Ab. Razak berkata, pihaknya akan merujuk kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi mengenal pasti pencemaran bunyi yang berlaku sehingga menimbulkan kacau ganggu bunyi bising.
“Aduan penduduk ini kami akan panjangkan kepada JAS Johor yang mempunyai kepakaran untuk mengenal pasti bunyi bising tersebut disebabkan pengoperasian kilang ini,” katanya. – UTUSAN











