Pengundi pilih PH atau PN

Pengundi pilih PH atau PN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HARI ini, seramai 39,151 pengundi akan menunaikan kewajipan mereka memilih wakil rakyat baharu sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Mengikut perangkaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) iaitu sehingga Mei lalu, daripada jumlah itu, seramai 12,732 pe­ngundi dianggarkan berusia antara 18 hingga 29 tahun sekaligus membentuk kelompok pengundi teramai setakat ini.

Justeru, tumpuan pastinya diberi kepada mereka untuk melihat pola pengundian gene­rasi tersebut pada PRK ini.

Menurut SPR, sembilan pusat mengundi dan 65 saluran akan dibuka untuk tujuan pengundian dengan seramai 552 orang petugas akan ditempatkan bagi proses pengundian tersebut.

Dalam pada itu, mengimbas kembali perjalanan kempen selama dua minggu yang bermula sejak penamaan calon 22 Jun lalu pula, PRK ini boleh disifatkan agak tenang.

Tidak banyak provokasi timbul antara kedua-dua penyokong meskipun rata-rata penganalisis berpendapat, peluang calon Pakatan Harapan (PH) atau Kerajaan Perpaduan dengan calon Perikatan Nasional (PN) hampir seimbang.

Jika ada isu yang menarik perhatian pun mungkin melibatkan pertikaian dari segi latar belakang akademik kedua-dua calon iaitu Dr. Joohari Ariffin (PH) dan Abidin Ismail (PN) serta kecaknaan mereka terhadap isu-isu setempat seperti masalah gangguan air, lalat dan infrastruktur termasuk jalan raya.

Isu lain yang mewarnai kempen ialah tindakan penyokong merosakkan bahan kempen seperti bendera dan sepanduk parti selain mengedarkan bahan risalah yang menyalahi undang-undang dan sebagainya.

Bagaimanapun, kes itu juga disifatkan agak terpencil kerana sehingga semalam, hanya lima laporan polis atau kertas siasatan telah dibuka, kata Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad.

Satu-satunya kes yang boleh disifatkan agak besar dan mendapat liputan meluas pastinya dakwaan berlakunya gangguan seksual terhadap seorang wartawan yang sedang bertugas beberapa hari lalu.

Itu pun, pelakunya berjaya diberkas dan ramai pihak berharap agar lelaki tersebut dikenakan tindakan yang sewajarnya atas perbuatan yang dianggap tidak senonoh itu.

Sebenarnya, di sebalik semua isu atau kontroversi yang timbul, perjalanan kempen bagi kedua-dua calon sama ada Joohari atau Cikgu Jo dan Abang Abidin (Abidin Ismail) nampak licin dan tersusun walaupun agak kelam-kabut pada peringkat awal.

Atas kertas, peluang Cikgu Jo tampak lebih cerah dengan sokongan dan dokongan yang diterima daripada parti-parti komponen di bawah Kerajaan Perpaduan, kerajaan negeri serta Kerajaan Persekutuan.

Dengan menekankan manifesto atau iltizam berkonsepkan Perpaduan atau PADU, perjua­ngan yang dibawa oleh bekas guru dan pensyarah itu nampak jelas iaitu mahu membina lebih banyak prasarana, meningkatkan akhlak dan kecemerlangan akademik khususnya dalam kalangan anak muda, mewujudkan suasana harmoni serta memberi layanan yang adil kepada semua.

Pun begitu, keupayaan Abang Abidin yang juga Naib Yang Dipertua Pas Kawasan Nibong Tebal ketika ini juga tidak seharusnya dipandang dengan ‘sebelah mata’.

Seperti lawannya, bekas eksekutif logistik ini pasti tidak mahu ‘kalah awal’ apabila memperkenalkan Tawaran Buat Rakyat sebagai manifesto pada PRK ini dengan menekan konsep KERJA iaitu khidmat kepada masyarakat, ekonomi dan peluang pekerjaan, rangkaian infrastruktur, jaminan mengutamakan rakyat serta amanah dan integriti.

Meskipun boleh dikatakan terpaksa berdepan dengan hampir seluruh jentera kerajaan, tinjauan mendapati, PN masih mempunyai pengaruh yang besar di media-media sosial khususnya platform TikTok. Mereka juga menerima bantuan daripada jentera Pas dan Bersatu di seluruh negara terutamanya dari negeri-negeri jiran seperti Kedah, Perlis dan Perak.

Di sebalik perbezaan ideologi, manifesto serta perjuangan, kedua-dua calon ini sebenarnya menyimpan satu harapan yang sama iaitu mahu melihat jumlah mereka yang keluar mengundi itu tinggi.

Jika PRK terakhir iaitu di DUN Kuala Kubu Bharu menyaksikan hanya 61.51 peratus keluar mengundi, maka, PRK DUN Sungai Bakap ini seharusnya menyaksikan jumlah itu terus meningkat.

Ya, siapa yang menang atau kalah dalam pilihan raya itu pastinya tidak akan memberi kesan kepada pentadbiran Kerajaan Perpaduan di Pulau Pinang.

Bagaimanapun, ia boleh menjadi ‘kayu pengukur’ kepada sejauh mana penerimaan rakyat terhadap dasar-dasar yang dibawa dan sebagainya walaupun ada kalanya, dasar itu dipengaruhi oleh sentimen atau persepsi semasa semata-mata. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN