NIBONG TEBAL : “Sepatutnya tahun lepas lagi saya dah mengundi (ketika Pilihan Raya Negeri atau PRN Ogos lalu). Tapi, masa itu belum cukup bulan.”
Itu kata seorang pengundi muda, Mohd. Zairi Hakimi Zairizam, 19, ketika ditemui pemberita di pusat pengundian Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Duri di sini, hari ini.
Menurut pelajar Kolej Vokasional (KV) Nibong Tebal itu, dia telah menyemak nama dan lokasi pengundiannya sejak malam tadi secara dalam talian bagi memastikan tidak berlaku sebarang kekeliruan pagi ini.
“Sebenarnya, agak ‘nervous’ (berdebar) juga apabila mengundi buat kali pertama ini.
“Tapi, saya bangga kerana dapat mengundi juga seperti kawan-kawan. Tahun lepas, ramai dah mengundi. Saya antara yang belum mengundi kerana tidak cukup umur masa tu,” katanya yang datang mengundi bersama ibunya, Norlida Hashim, 43.
Mohd. Zairi Hakimi turut menitipkan pesanan kepada pengundi muda yang belum menunaikan tanggungjawab mereka untuk segera berbuat demikian.
“Inilah masanya kita gunakan kuasa kita sebagai pengundi untuk memilih wakil rakyat sendiri,” katanya.-UTUSAN










