Pengadu tarik balik kes, Papagomo ditangkap di luar mahkamah

Pengadu tarik balik kes, Papagomo ditangkap di luar mahkamah

WAN Muhammad Azri Wan Deris tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam bagi perbicaraan kes berkaitan kenyataan menghasut. UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Seorang peniaga yang juga pengadu dalam kes Wan Muhammad Azri Wan Deris, menarik balik laporan polis yang dibuat terhadap penulis blog itu berkaitan kenyataan menghasut bahawa kerajaan memihak kepada Israel dan barat.

Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini,  Hisham Sharudin menarik balik laporan itu kira-kira dua jam selepas memberi keterangan, semalam.

Menurut beliau, Hisham, 42, yang juga saksi pendakwaan pertama, selesai memberi keterangan pukul 12 tengah hari dan membuat laporan polis untuk menarik balik aduannya kira-kira pukul 2 petang.

Dalam perkembangan berlainan, Muhammad Rafique memaklumkan kepada pihak media bahawa Wan Muhammad Azri atau Papagomo ditahan polis sejurus mahkamah selesai bersidang hari kedua perbicaraan kira-kira pukul 12.20 tengah hari.

Kata peguam itu, anak guamnya ditangkap di luar mahkamah oleh dua pegawai polis dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bukit Aman sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

“Arahan tangkapan dari pihak atasan berkaitan satu lagi laporan polis yang dibuat di bawah Akta Hasutan 1948,” ujarnya.

Terdahulu, Muhammad Rafique berkata, oleh kerana laporan tersebut menjadi pencetus kepada siasatan kes, pihaknya memohon untuk memanggil semula saksi pendakwaan itu (yang telah selesai memberi keterangan) pada prosiding hari ini.

“Kami memohon mahkamah mengguna pakai Seksyen 425 Kanun Prosedur Jenayah (CPC) untuk memanggil semula saksi itu pada perbicaraan hari ini,” ujar peguam berkenaan.

Bagaimanapun, Hakim Siti Aminah Ghazali mengarahkan perbicaraan diteruskan dengan mendengar keterangan saksi lain selepas Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P. Kunyalam memaklumkan, Hisham tidak hadir.

Dalam pada itu, Mohamad Mustaffa berhujah, keengganan saksi pendakwaan pertama meneruskan laporan polis ke atas tertuduh bukan faktor yang wajar dipertimbangkan oleh mahkamah pada peringkat ini untuk menghentikan  pendakwaan.

Ujarnya, meskipun saksi menarik balik laporan, ia bukan penghalang untuk pihak pendakwaan meneruskan kes terhadap tertuduh.

“Seramai 10 saksi (termasuk pengadu) dipanggil memberi keterangan untuk membuktikan kes itu manakala saksi kedua yang memuat naik video berkaitan kenyataan tertuduh, juga telah memberi keterangan.

Ketika sidang mahkamah menyambung sidang,  seorang Pegawai Tadbir dan Diplomatik di Kementerian Luar Negeri memberitahu, Datuk Seri Anwar Ibrahim sering menyatakan ketegasan kerajaan terhadap kezaliman, penindasan dan pemerasan oleh Rejim Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza.

Datuk Zahairi Baharim berkata, Perdana Menteri memberitahu Dewan Rakyat kerajaan yang dipimpinnya tidak pernah pro terhadap Israel.

“Berdasarkan ucapan Anwar di Parlimen, kenyataan tertuduh berunsur negatif dan boleh membawa tafsiran yang cenderung mempengaruhi rakyat walhal kerajaan tidak pernah beralih pandangan atau menyokong Israel,” katanya ketika membacakan penyataan saksi.

Wan Muhammad Azri didakwa mengeluarkan kata-kata menghasut di laman Facebook Halid (Halid Mat Kool) dan ia dilihat oleh individu di sebuah unit kondominium di Jalan Tong Shin, Bukit Bintang di sini pada 1 tengah hari 8 Nov 2023.

Perbicaraan bersambung 29 Julai ini. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN