KUALA LUMPUR: Seorang peniaga yang juga pengadu dalam kes Wan Muhammad Azri Wan Deris menarik balik laporan polis yang dibuat terhadap penulis blog itu berkaitan kenyataan menghasut bahawa kerajaan memihak kepada Israel dan barat.
Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali memberitahu Mahkamah Sesyen di sini semalam, Hisham Sharudin menarik balik laporan itu kira-kira dua jam selepas memberi keterangan, kelmarin.
Menurut beliau, Hisham, 42, yang juga saksi pendakwaan pertama, selesai memberi keterangan pukul 12 tengah hari dan membuat laporan polis untuk menarik balik aduannya kira-kira pukul 2 petang.
Dalam perkembangan berlainan, Muhammad Rafique memaklumkan kepada media bahawa Wan Muhammad Azri atau Papagomo ditahan polis sejurus mahkamah selesai bersidang hari kedua perbicaraan kira-kira pukul 12.20 tengah hari, semalam.
Kata peguam itu, anak guamnya ditangkap di luar mahkamah oleh dua pegawai polis dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bukit Aman sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
“Arahan tangkapan dari pihak atasan berkaitan satu lagi laporan polis yang dibuat di bawah Akta Hasutan 1948,” ujarnya.
Terdahulu, Muhammad Rafique berkata, oleh kerana laporan tersebut menjadi pencetus kepada siasatan kes, pihaknya memohon untuk memanggil semula saksi pendakwaan itu (yang telah selesai memberi keterangan) pada prosiding semalam.
“Kami memohon mahkamah mengguna pakai Seksyen 425 Kanun Prosedur Jenayah (CPC) untuk memanggil semula saksi itu,” ujar peguam berkenaan.
Bagaimanapun, Hakim Siti Aminah Ghazali mengarahkan perbicaraan diteruskan dengan mendengar keterangan saksi lain selepas Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P. Kunyalam memaklumkan, Hisham tidak hadir.
Dalam pada itu, Mohamad Mustaffa berhujah, keengganan saksi pendakwaan pertama meneruskan laporan polis ke atas tertuduh bukan faktor yang wajar dipertimbangkan oleh mahkamah pada peringkat ini untuk menghentikan pendakwaan.
Ujarnya, meskipun saksi menarik balik laporan, ia bukan penghalang untuk pihak pendakwaan meneruskan kes terhadap tertuduh. – UTUSAN










