TASEK GELUGOR : Pemuda UMNO kini rancak merangka strategi bagi memastikan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri kembali ke ‘pangkuan’ Barisan Nasional (BN) dan Kerajaan Perpaduan.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, ketika ini, terdapat pelbagai kemungkinan yang boleh berlaku, namun, beliau positif kerusi DUN Nenggiri dapat menjadi milik BN.
“Pilihan Raya Kecil (PRK) ini ada seribu satu kemungkinan. Hari ini kita boleh kalah, lusa boleh menang.
“Jadi, sudah tentu kita ada strategi tersendiri, malah, kita akan berusaha sehabis baik untuk merampas kembali DUN Nenggiri kerana sebelum ini pun kita kalah dengan majoriti 800 lebih sahaja.
“Sebelum itu pun, kerusi DUN Nenggiri ini adalah kerusi UMNO dan saya rasa ada keyakinan, Nenggiri boleh kita dapatkan kembali dengan izin Allah,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tasek Gelugor 2024 di Kubang Menerong, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Muhamad Akmal berkata, beliau sendiri telah turun ke Nenggiri dan meyakini calon yang dipertaruhkan dapat memberi khidmat terbaik kepada rakyat setempat.
“Apabila kita hendak cari calon, sudah semestinya kita akan cari calon terbaik dan di Nenggiri, sudah ada calon muda yang terbaik. Selain boleh berkhidmat kepada rakyat, kita sendiri rasakan sokongan terhadap calon ini pun sangat kuat sehingga peringkat akar umbi.
“Jadi, sudah tentulah kita akan usulkan nama (calon) dari Pemuda UMNO Kelantan untuk dipertimbangkan. Namun, walau apa sekalipun, ia tetap bergantung kepada keputusan kepimpinan tertinggi,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos ini, dengan penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan 3 dan 13 Ogos depan.
Pilihan raya itu diadakan selepas Yang Dipertua DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah pada 19 Jun lalu mengumumkan kekosongan kerusi berkenaan selepas Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian daripada parti Bersatu apabila menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Terdahulu, pada PRN yang berlangsung Ogos tahun lalu, Mohd Azizi menang dengan majoriti 810 undi apabila mendapat 6,517 undi berbanding calon BN, Ab. Aziz Yusoff yang memperolehi 5,707 undi ketika itu.-UTUSAN









