ALOR SETAR: Seorang pemilik bengkel ubah suai kenderaan untuk orang kurang upaya (OKU) di Alor Mengkudu di sini tidak dapat menggambarkan keterujaannya setiap kali membantu golongan sepertinya memandu semula.
Mohd. Ariff Abdullah, 49, yang merupakan OKU kategori fizikal setelah lumpuh akibat ketumbuhan pada tulang belakang ketika berusia 22 tahun berkata, sejak 2009 dia mengubah suai hampir 1,000 kereta dan motosikal bagi kegunaan mereka yang senasib dengannya.
“Perkara paling menguja dan menggembirakan saya adalah apabila melihat pelanggan dapat memandu semula.
“Ada pelanggan yang gembira sehingga menitis air mata apabila saya menyerahkan kereta mereka. Perasaan itu tidak dapat saya gambarkan,” katanya ketika ditemui di bengkel miliknya di sini.
Menurut Mohd. Ariff yang pernah bekerja dengan sebuah syarikat automotif terkemuka negara di Shah Alam sebelum lumpuh, dia mengubah suai pelbagai jenis kenderaan di seluruh negara.
“Tempahan ini datang dari seluruh negara dan jika di luar Kedah, saya akan melakukan kerja-kerja ubah suai di tempat pelanggan berkenaan. Upah yang dikenakan antara RM6,000 hingga RM7,000 mengikut tahap ubah suai atau jenis kecacatan pelanggan.
“Paling sukar menerima tempahan daripada pelanggan yang kudung kedua-dua belah tangan. Jadi, ubah suai itu agak rumit kerana dia akan memandu menggunakan kedua-dua belah kakinya.
“Untuk setiap ubah suai, pelanggan saya akan terlebih dahulu merujuk kes mereka kepada doktor bagi mengetahui sama ada mereka layak memandu sebelum permohonan diajukan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi kelulusan. Kerja-kerja ubah suai saya berpandu kepada surat rujukan tersebut,” katanya.
Bercerita tentang perancangan masa depan, kata Mohd. Ariff, dia berharap dapat mengembangkan perniagaannya itu selain mengupah lebih banyak pekerja OKU untuk membantu golongan tersebut meraih pendapatan.
“Saya pernah putus harapan pada 1998 apabila jadi lumpuh dan dua tahun saya tidak keluar rumah sehingga saya berkahwin. Isteri saya banyak memberi dorongan untuk saya bangkit.
“Banyak kerja yang saya lakukan sebelum ini termasuk berniaga makanan tetapi ini bidang yang paling saya gemari kerana sedikit sebanyak dapat membantu mereka yang senasib meneruskan kehidupan. Apabila sudah boleh memandu mereka dapat melakukan aktiviti seperti biasa termasuk bekerja,” katanya. –UTUSAN










