PETALING JAYA: Mesyuarat Jemaah Menteri sebulat suarat mengecam sekeras-kerasnya pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh di Tehran, Iran, hari ini
Jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil berkata, Jemaah Menteri juga bersolidariti Bersama dengan rakyat Palestin susulan pembunuhan Ismail.
“Jemaah Menteri turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mantan Perdana Menteri Palestin itu dan menggesa siasatan segera dilakukan agar pihak yang bertanggungjawab terhadap pembunuhan tersebut dibawa ke muka pengadilan.
“Kerajaan Malaysia akan terus lantang menyuarakan sokongan serta bekerjasama dengan negara-negara lain dalam usaha mendesak pembebasan rakyat Palestin daripada sebarang bentuk kezaliman,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan laporan berita media antarabangsa terhadap insiden pembunuhan Ismail Haniyeh yang juga bekas Perdana Menteri di Tehran, Iran, hari ini.
Ismail Haniyeh berada di Tehran bagi menghadiri majlis angkat sumpah Presiden baharu Iran, Masoud Pezeshkian, pada Selasa lalu. –UTUSAN










