Pembenihan awan akan dilakukan di Kedah - Utusan Malaysia

Pembenihan awan akan dilakukan di Kedah

MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerajaan negeri memaklumkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan melaksanakan pembenihan awan dalam masa terdekat bagi menstabilkan paras air di Sungai Muda.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, langkah itu susulan permintaan Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Syarikat Air Darul Aman (SADA).

“Pembenihan awan akan dilaksanakan oleh NADMA beberapa kali. Saya difahamkan tiga kali pembenihan awan untuk kita stabilkan semula kedudukan paras air di Sungai Muda.

“Kita pun bersimpati dengan jiran kita (Pulau Pinang) yang saya nampak gambar kekeringan di muka sauk di Lahar Tiang kerana paras air Sungai Muda surut.

“Empat hari lalu, dilepaskan 10 meter padu air dan nanti akan dilepaskan lagi secara berkala sehingga paras air stabil untuk kita rawat bagi menghasilkan air bersih untuk Pulau Pinang dan Kedah, katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco, di sini hari ini.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), K. Pathmamathan dilaporkan berkata, aras Sungai Muda di muka sauk PBAPP di Lahar Tiang telah turun di bawah paras selamat.

Menurutnya, Kedah mempunyai pilihan untuk melepaskan lebih banyak air dari Empangan Beris bagi meningkatkan paras Sungai Muda dan langkah itu akan mengelakkan sebarang isu besar di 14 loji rawatan air (LRA) di Kedah dan LRA Sungai Dua di Pulau Pinang. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN