PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) menjelaskan, pelaksanaan perkongsian kos atau pembayaran bersama untuk produk insurans dan takaful perubatan serta kesihatan (MHIT) ke atas syarikat insurans dan pengendali takaful (ITO) bermula 1 September ini bagi menangani inflasi kos perubatan yang terus meningkat.
BNM dalam kenyataan berkata, langkah itu dilaksana sebagai tindakan kawalan terhadap penggunaan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berlebihan.
Sehubungan itu, katanya, berkuat kuasa tempoh itu juga, ITO dikehendaki menawarkan pilihan kepada pengguna untuk membeli produk MHIT yang mempunyai ciri-ciri perkongsian kos, manakala pengguna yang membelinya tanpa ciri berkenaan boleh mengekalkan produk sedia ada mereka.
“Produk MHIT dengan ciri-ciri ini bukanlah sesuatu yang baharu dalam pasaran Malaysia. Berdasarkan pemerhatian semasa, tahap premium/sumbangan untuk produk MHIT dengan ciri-ciri pembayaran bersama didapati lebih rendah sebanyak 19 peratus hingga 68 peratus berbanding produk yang serupa tetapi tidak mempunyai ciri-ciri tersebut.
“Tahap premium/sumbangan ini bergantung pada tahap pembayaran bersama yang dipilih. ITO juga dikehendaki menawarkan pelbagai tahap pembayaran bersama yang memenuhi keperluan kewangan dan situasi pengguna yang berbeza,” katanya hari ini.
Dalam pada itu, katanya, ITO juga boleh terus menawarkan produk MHIT tanpa ciri-ciri pembayaran bersama kepada pengguna baharu.
Katanya, ia dilaksana bersama-sama pembaharuan perkhidmatan penjagaan kesihatan lain yang terkandung dalam Kertas Putih Kesihatan diterbitkan kerajaan.
“Ini termasuk meningkatkan ketelusan kos perubatan supaya pengguna dapat membuat pilihan yang sesuai apabila mendapatkan perkhidmatan kesihatan serta mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan kesihatan.
“Oleh itu, pendekatan seluruh negara diperlukan untuk membendung inflasi kos perubatan sepanjang rantaian nilai penjagaan kesihatan,” katanya.
Katanya, pengguna dapat memilih produk pada kos lebih rendah berdasarkan keperluan dan kemampuan kewangan mereka menerusi produk MHIT yang mempunyai ciri-ciri pembayaran bersama.
Jelas BNM, Dokumen Dasar Perniagaan Insurans/Takaful Perubatan dan Kesihatan bertujuan menggalak penawaran MHIT yang berterusan dan lebih mampu milik berikutan inflasi kos perubatan yang terus meningkat.
Untuk rekod, Malaysia mencatat inflasi kos perubatan sebanyak 12.6 peratus yang jauh lebih tinggi daripada purata global 5.6 peratus pada 2023.
Dalam sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat pada 1 Julai lalu, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying memaklumkan yang BNM mewajibkan ITO yang menawarkan produk MHIT baharu untuk memperkenal ciri-ciri perkongsian kos dalam produk itu bermula suku ketiga tahun ini.
BNM menetapkan syarat yang perlu dipatuhi ITO seperti digariskan dalam Dokumen Dasar Perniagaan bagi meningkatkan lagi tahap mampu milik MHIT serta melindungi kepentingan pengguna.
Di samping itu, ITO perlu memberi pertimbangan sewajarnya kepada sebarang kesulitan kewangan atau keadaan dihadapi pemilik polisi atau peserta takaful.
“Pembayaran bersama tidak terpakai dalam keadaan seperti rawatan kecemasan termasuk untuk kes kemalangan, rawatan pesakit luar untuk rawatan susulan bagi penyakit kritikal seperti kanser atau dialisis buah pinggang serta rawatan di fasiliti kesihatan kerajaan.
“ITO boleh menggunakan budi bicaranya untuk memberikan pengecualian terhadap pembayaran bersama dalam keadaan sedemikian,” katanya – UTUSAN










