KUALA TERENGGANU: Seorang pelancong warga Maghribi mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan mencabul kehormatan seorang juruterapi spa di Pulau Perhentian, Besut, Ahad lalu.
Nourou Yassine, 23, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nik Mohd. Tarmizie Nik Mohd. Shukri, hari ini, selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam Bahasa Inggeris.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa yang berusia 19 tahun dengan niat untuk mencabul kehormatannya.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan keji itu di sebuah resort di Pulau Perhentian kira-kira pukul 9.15 malam pada 14 Julai lalu.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan (KK).
Mahkamah kemudian menetapkan 6 Ogos sebagai tarikh jatuh hukum di Mahkamah Majistret Besut sebelum membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan dua penjamin warga tempatan.
Tertuduh turut dikenakan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rabiatul Addawiah Mohd. Noorlee manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Izzat Norizam.
Media sebelum ini melaporkan penahanan seorang pelancong warganegara Mahgribi kerana disyaki mencabul kehormatan seorang juruterapi spa di pulau peranginan itu.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Abdul Rozak Mohammad, berkata, siasatan awal mendapati mangsa mendakwa telah dicabul ketika memberikan perkhidmatan urutan kepada suspek.
Menurut beliau, ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati lelaki berkenaan negatif bahan terlarang. – UTUSAN









