BALING: Permintaan seorang remaja perempuan untuk makan malam bersama keluarga di sebuah kedai sempat dipenuhi sebelum dia maut dalam kemalangan di Jalan Baling-Weng-Tanjung Pari, di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 7.45 pagi itu, mangsa, Siti Umairah Alias, 18, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada muka dan kepala. Kejadian berlaku ketika mangsa yang merupakan pelajar tingkatan enam dalam perjalanan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baling.
Menurut bapa saudara mangsa, Mohd. Zulkifli Mohd. Yusuf, 40, arwah bersungguh-sungguh mengajak dia bersama ibu serta bapa tiri untuk makan di sebuah kedai berdekatan SMK Bongor.
“Arwah teringin nak makan char kuetiau dan malam itu memang kami makan bersama. Tidak sangka ia kenangan terakhir bersama,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.
Katanya, arwah beberapa kali mengajaknya keluar makan, namun cuma semalam baru berkesempatan dan kemalangan itu juga berlaku tidak jauh dari kedai makan yang mereka pergi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, kejadian melibatkan dua motosikal dan sebuah kereta berlaku berdekatan SMK Bongor.
Katanya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa menunggang motosikal Yamaha Ego dari arah sama dengan seorang lagi penunggang motosikal Modenas Kriss warga Indonesia, manakala kereta Perodua Myvi dari arah bertentangan.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, penunggang motosikal warga asing itu yang berada di hadapan mangsa secara tiba-tiba mengubah haluan ke kanan jalan untuk membelok masuk ke simpang.
“Tindakan itu menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak lalu bergesel di bahagian sisi kanan motosikal seterusnya bertembung bahagian hadapan kereta,” katanya.
Kata beliau, mangsa melambung dan jatuh di tengah-tengah jalan manakala warga Indonesia itu mengalami luka pada badan sementara pemandu kereta tidak mengalami kecederaan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan penunggang motosikal berusia 47 tahun ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya. -UTUSAN








