KEMAMAN: Seorang pekerja kontrak dan isterinya, ditahan polis selepas disyaki mendera dua kanak-kanak, di Jalan Jabur Kubur, Chukai, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Hanyan Ramlan berkata, lelaki berusia 30 tahun yang merupakan bapa tiri dan wanita berusia 26 tahun yang merupakan ibu kandung kanak-kanak berusia enam dan tujuh tahun itu ditahan kira-kira pukul 8 malam ini.
“Pihak polis menerima laporan daripada seorang individu yang mendakwa melihat kejadian yang mana kedua-dua kanak-kanak itu dipukul di hadapan rumahnya, kira-kira pukul 5 petang tadi.
“Susulan itu, pihak polis bergegas ke lokasi kejadian dan hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan kecederaan lama dan baru pada hampir keseluruhan anggota badan kanak-kanak perempuan dan abangnya itu,” katanya ketika ditemui di sini, malam ini.
Hanyan berkata, pihak polis menahan kedua-dua suspek di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman, sementara kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Kemaman untuk menerima rawatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya. – UTUSAN










