KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal hari ini mendedahkan individu yang didakwa menjadi dalang penjualan sebahagian saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) kepada syarikat berkaitan BlackRock.
Dalam sidang Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata, perkara itu diketahui menerusi surat layang yang diterima beliau.
“Saya mendapat satu surat layang daripada orang dalam KWSP yang cuba menjelaskan kepada rakyat Malaysia siapa dalang sebenarnya selain Khazanah dan KWSP yang benar-benar push the deal berkenaan MAHB ini.
“Difahamkan nama yang disebut dalam surat itu LinkedIn menunjukkan terlibat dalam penjualan saham MAHB kepada Global Infrastructure Partners (GIP) BlackRock.
“Individu ini difahamkan dalam surat layang yang diberikan mempunyai karektor pembuli dan ramai pekerja KWSP tidak berani bersuara dan minta kami pembangkang bersuara menyatakan kebimbangan mereka, mereka tak nak bersubahat dengan keputusan kerajaan Madani untuk menjual saham dan dana KWSP,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) 2021 dan tahun 2022.
Terdahulu, Wan Ahmad Fayhsal menyifatkan, penjualan saham MAHB kepada GIP itu merupakan salah satu pelanggaran hak asasi manusia.
“Kerana UN (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) menamakan BlackRock sebagai salah satu penyumbang genosid,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Ahmad Fayhsal menggesa Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menggerakkan satu siasatan terhadap dakwaan surat layang itu.
“Tolong siasat dalang penjualan saham MAHB ini dalam Khazanah dan KWSP, saya memanggil PAC untuk panggil mereka semua untuk terangkan kepada kami kenapa jual saham MAHB kepada BlackRock dan GIP,” katanya.- UTUSAN










