PARLIMEN: Tarikh pelaksanaan cukai barang mewah belum pasti 

PARLIMEN: Tarikh pelaksanaan cukai barang mewah belum pasti 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kabinet akan memutuskan tarikh pelaksanaan Cukai Barang Bernilai Tinggi (HVGT) yang asalnya dicadang diperkenal pada 1 Mei lalu.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penangguhan itu memberi ruang bagi memperkemas dasar dan perundangan berkaitan HVGT.

Katanya, ini memastikan pelaksanaannya dibuat dengan teratur dan cekap selaras dengan amalan terbaik antarabangsa.

“Tarikh mula pelaksanaan HVGT yang pada asalnya dicadangkan pada 1 Mei 2024 ditangguhkan ke satu tarikh yang akan diputuskan.

“Penelitian turut mengambil kira prinsip percukaian semasa serta memastikan ia tidak menjejaskan aktiviti ekonomi dan kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat, semalam. 

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) yang mahu tahu status terkini HVGT yang akan dilaksana dan penambahbaikan butiran yang sedang diperinci kerajaan.

Sebelum ini Anwar berkata, kerajaan dalam proses menentukan jenis barang yang akan dikenakan termasuk nilai ambang penentuan barang bernilai tinggi.

Katanya, penelitian dan kajian tuntas dibuat bagi memastikan pelaksanaannya tidak memberi kesan tambahan kepada golongan berpendapatan rendah.

Dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat pada 2 November tahun lalu, Anwar memberitahu, HVGT seperti barang kemas, jam tangan berjenama dan kereta akan dilaksana bermula 1 Mei 2024.

Cukai baharu itu terdahulu diumum Anwar semasa pembentangan Belanjawan 2024 tahun lalu. 

Pada 27 Oktober tahun lalu, media melaporkan, cukai itu dijangka dikenakan ke atas barangan mahal seperti jet peribadi, kapal layar, barangan kemas dan kereta mewah.

Selain itu, cukai tersebut dikatakan akan dikenakan ke atas kereta yang dijual melebihi RM200,000, jam tangan melebihi RM20,000 dan barangan kemas berharga melebihi RM10,000. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN