KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam sedang melihat keperluan untuk mewujudkan satu perundangan khusus berkaitan plastik di negara ini.
Ia susulan laporan dikeluarkan sebelum ini dimana Malaysia dikategorikan sebagai negara yang rakyatnya paling banyak memakan mikroplastik dianggarkan sebanyak 15 gram sebulan.
Menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen hari ini, kementerian berharap ia dapat mempercepatkan peralihan pengurusan plastik daripada ekonomi linear kepada ekonomi kitaran.
“Berkenaan penggunaan mikroplastik, kajian tersebut mengaitkan dengan tabiat pemakanan ikan dan makanan laut. Dalam hal ini, berkemungkinan perkara ini terjadi akibat daripada pencemaran sisa plastik yang ‘terlepas’ atau ‘tidak dapat dikutip’ atau ‘terbuang’ sama ada secara sengaja atau tidak sengaja ke dalam persekitaran yang akhirnya akan mengalir ke sungai, saliran dan seterusnya ke lautan. Perkara ini juga dikaitkan dengan sampah marin atau buangan marin.
“Sehubungan itu, kementerian mengambil pelbagai langkah dalam menangani isu sampah marin dan mengurangkan penggunaan plastik sekali guna berpandukan Pelan Tindakan dan Polisi Sampah Marin Kebangsaan 2021-2030, Hala Tuju Kelestarian Plastik Malaysia (MPSR) 2021-2030, Hala Tuju Ke Arah Sifar Penggunaan Plastik Malaysia 2018-2030,” katanya.
Dalan jawapan bertulis sama, kementerian turut menjelaskan secara keseluruhannya pelaksanaan dasar-dasar berkaitan menangani sampah marin dan galakan untuk mengurangkan penggunaan plastik sekali guna masih perlu diperkasakan. – UTUSAN










