PETALING JAYA: Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) akan terus ‘mengejar’ individu yang korup dan tidak cekap selepas mendapat sokongan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengadakan pertemuan dengan jawatankuasa itu di Parlimen, Khamis lalu.
Ahli Jawatankuasa PAC, Sim Tze Tzin berkata, Anwar jarang sekali bertemu jawatankuasa berkenaan, namun kunjungan Perdana Menteri menunjukkan beliau adalah pemimpin berbeza yang menyokong tadbir urus yang baik dan telus.
Beliau berkata, PAC memberitahu Anwar yang ahlinya sentiasa profesional meskipun jawatan kuasa itu dianggotai berbilang pemimpin politik sama ada dari parti politik kerajaan mahupun pembangkang.
“PAC biasanya digeruni pegawai kerajaan dan menyebabkan menteri pening kepala (ingat isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kapal tempur pesisir (LCS)).
“Tetapi, pada pagi Khamis lalu, PAC mempunyai tetamu khas, PMX (Perdana Menteri ke-10). Jarang sekali PM (Perdana Menteri) bertemu PAC. Saya tidak pernah (melihat Perdana Menteri bertemu PAC) dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
“Ini menunjukkan PMX adalah pemimpin yang berbeza, yang menyokong tadbir urus yang baik, ketelusan dan kerja baik PAC,” katanya menerusi perkongsian di platform X hari ini.
Sejak dilantik menganggotai PAC, Tze Tzin berkata, jawatan kuasa itu sudah terlibat dalam menyiasat lebih 13 laporan dan banyak lagi akan menyusul.
Katanya, mesyuarat PAC berlangsung panjang bermula pukul 10 pagi hingga 7.30 malam untuk menyiasat laporan yang disifatkannya sebagai kompleks.
“PAC juga turun padang ke kawasan terpencil di Sabah dan Sarawak untuk menyiasat sekolah daif, pergi ke Kedah untuk melihat jelapang padi dan ke Langkawi untuk melihat projek yang gagal.
“Jawatan kuasa ini datang daripada pelbagai latar belakang, ahli Parlimen kanan dan berpengalaman dalam kerajaan Persekutuan, EXCO (kerajaan) negeri, peguam, doktor, wartawan, jurutera, pengurus korporat dan doktor veterinar.
“Dengan latar belakang pelbagai ini, kita boleh menyelami banyak isu dan menemui rasuah, salah urus dan ketirisan. Saya bangga berada dalam PAC. Dengan sokongan PMX, kami akan terus bekerja keras untuk mengejar mereka yang tidak cekap dan korup, ” katanya.
Pada Khamis lalu, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang juga Pengerusi PAC tidak menyangka menerima sekeping nota daripada Perdana Menteri.
Nota tulisan tangan itu diserah kepadanya oleh Bentara Dewan sebaik saja selesai perjumpaan PAC, sebelum sidang Dewan Rakyat bermula.
Nota yang disifatkan begitu positif itu bertulis ‘Menghargai kesediaan saudara saudari PAC, untuk menemui dan berbincang. Insya-Allah saya akan susuli segera’.
Katanya, ia pengalaman pertamanya menerima nota seumpama itu daripada seorang Perdana Menteri. – UTUSAN










