PETALING JAYA: Ops Ihsan mengutuk sekeras-kerasnya serangan terkini rejim Zionis terhadap Sekolah Al-Awda di Abasan, Gaza yang menjadi sasaran pengeboman pada Rabu.
Pengerusinya, Jismi Johari berkata, sekolah tersebut dijadikan pusat perlindungan bagi kira-kira 2,000 rakyat Palestin yang terjejas akibat serangan tentera penjajah Israel.
Katanya, pengeboman ini menyebabkan 29 orang syahid yang kebanyakan mangsa terdiri daripada kanak-kanak, wanita, dan orang tua manakala 50 orang yang tercedera dikejarkan ke kem pelarian lain untuk rawatan lanjut.
“Serangan ini adalah taktik Israel sengaja mengebom penempatan dan khemah – khemah dengan tujuan untuk penduduk berpindah-randah.
“Pemindahan secara paksa ini dilakukan untuk menambah kesengsaraan terhadap orang awam di Gaza yang semakin meruncing disebabkan kekurangan air dan makanan serta diburukkan dengan penularan penyakit berjangkit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, ini adalah satu jenayah dan jelas menggunakan kebuluran dan pemindahan paksa sebagai senjata.
“Pintu-pintu sempadan perlu dibuka supaya segala bentuk bantuan kemanusiaan khususnya makanan dan perubatan dapat disampaikan dengan segera.
“Ops Ihsan terus menyeru agar semua pemimpin dan masyarakat di peringkat antarabangsa mahupun tempatan bersatu serta terus fokus dalam memberi tekanan kepada Israel untuk menghentikan pembantaian keatas nyawa orang awam di Gaza,” katanya. – UTUSAN










