Bila baca kisah Nonny yang kononnya telah membotakkan kepala, teringat pula Cik Bunga kepada kisah kontroversi penyanyi pop terkemuka antarabangsa, Britney Spears. Masa itu, kalau tidak silap kejadiannya sekitar tahun 2007. Satu dunia terkejut dengan tindakan Britney itu.
Jadi, bila Nonny buat begitu, kita pun terkejut juga. Cuma impaknya tidaklah satu dunia. Kemudian tidak cukup dengan itu, khabarnya Nonny juga tampil dengan gelagat berkemban sambil menari. Itu tidak pelik sangat sebab satu perkara yang kita harus akui, penggiat seni ini, memang kreatif semuanya.
Pendek kata, memang tidak sunyi dunia hiburan ini dengan pelbagai ragam artis kita. Cuma itulah, apabila Nonny buat perangai macam itu, soalan Cik Bunga, apa tujuan Nonny buat begitu?
Adakah sebab terdesak hendak cari ‘job’? Mahu raih perhatian supaya orang ambil dia berlakon kembali atau macam mana? Atau sememangnya Nonny sedang ‘sakit’? Kalau betul sedang sakit, dia sewajarnya perlu dapatkan rawatan kesihatan.
Pula itu, dengarnya Mila Jirin adalah sahabat baik dia sejak di zaman Akademi Fantasia (AF). Pernah juga rasanya Mila menyebut supaya Nonny ini dapatkan bantuan. Tetapi bagi Cik Bunga, sebagai rakan baik, mungkin sepatutnya Mila sendiri tampil membawa rakannya berjumpa pakar terapi atau sebagainya.
Iyalah, daripada sekadar bercakap sahaja. Sebagai kawan, buatlah sesuatu kalau betul sayangkan kawan. Ini cadangan Cik Bungalah, sebab kalau betul Nonny perlukan bantuan, orang sekeliling yang mengenali, bantulah dia. Jangan lepas tangan.










