SETIU: Sekumpulan nelayan berjaya mendaratkan seekor ikan yu yang dianggarkan seberat 300 kilogram (kg) di Pantai Telaga Papan, di sini, semalam.
Seorang pembekal ikan, Jamaluddin Mohamad, 57, berkata, ikan yu berkenaan dikatakan telah masuk ke dalam pukat ketika aktiviti menangkap ikan dilakukan pada malam Rabu lalu.
“Ikan tersebut masuk ke dalam pukat untuk makan ikan-ikan kecil dan tersangkut tidak dapat melepaskan diri,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Telaga Papan, di sini, hari ini.
Jamaluddin menambah, ikan tersebut kemudiannya pindahkkannya menggunakan bot kecil untuk dihantar ke darat dengan kekuatan lebih 10 orang.
Jelasnya, ikan yu tersebut adalah yang terbesar didaratkan di pantai ini pada tahun ini.
Tambahnya, pada tahun lalu, seekor ikan yu seberat 200 kg turut didaratkan di lokasi tersebut.
“Ikan yu berkenaan telah dijual kepada seorang pemborong dari Kuantan, Pahang dengan harga kira-kira RM1,500,” katanya. – UTUSAN










