SEREMBAN: Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di bawah kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sepatutnya berfungsi sebagai pusat pemulihan, latihan dan pendidikan bagi kanak-kanak autisme dan orang kurang upaya (OKU).
Pengerusi Pertubuhan Guru, Ibu Bapa dan Anak Berkeperluan Khas Negeri Sembilan, Habsah Yusof berkata, kewujudan PDK mampu menampung isu kekurangan pusat jagaan autisme di negara ini.
Namun, malangnya menurut beliau, PDK yang memang banyak beroperasi di seluruh negara termasuk di luar bandar tidak berfungsi sebaiknya ekoran petugasnya tidak terlatih.
“Sudah ada PDK, naik taraf sahaja. Ia bukan hanya memberikan kemudahan kepada kanak-kanak autisme tetapi OKU lain seperti sindrom Down. Jika kita mahu tambah pusat jagaan autisme, adakah kerajaan mampu?
“PDK di seluruh negara sudah ada, cuma petugasnya tidak terlatih. Jika mahu naikkan elaun petugas PDK ataupun insentif kepada ibu bapa, itu tidak akan menyelesaikan masalah anak-anak autisme ini. Kita mahukan anak-anak autisme ini pulih, jadi tenaga pengajar kena berilmu dan berkemahiran,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Habsah adalah bekas Pensyarah Kanan Pendidikan Khas Masalah Pembelajaran, Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar, Seremban mengulas laporan akhbar ini semalam mengenai kekurangan pusat jagaan autisme di seluruh negara.
Dalam laporan itu, Presiden Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom), Datuk Megat Ahmad Shahrani Megat Shahrudin berkata, penjagaan anak-anak autisme di luar bandar amat membimbangkan kerana kekurangan pendedahan kaedah sewajarnya.
Beliau justeru menyarankan lebih banyak pusat jagaan diwujudkan di kawasan luar bandar bagi membolehkan ibu bapa lebih cakna dengan keperluan kanak-kanak autisme selain menyarankan supaya kerajaan memberi insentif kepada ibu bapa dalam kalangan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) bagi menampung yuran bulanan pusat jagaan itu yang tinggi.
Habsah bagaimanapun menegaskan, jika terdapat peruntukan kewangan untuk keperluan anak-anak autisme, sewajarnya ia disalurkan bagi menaik taraf fungsi dan operasi PDK termasuk meletakkan juruterapi bertauliah di PDK.
“Anak-anak autisme ini perlukan terapi seperti fisioterapi dan terapi pertuturan. Kita mahukan mereka pulih bukan hanya penjagaan,” katanya lagi.
Difahamkan setakat 31 Januari tahun lalu, terdapat 565 PDK beroperasi di seluruh negara melibatkan 2,773 orang penyelia serta petugas. – UTUSAN










