Muhasabah, mahu banyak sedekah - Ruhainies sambut hari lahir bersama anak tahfiz - Utusan Malaysia

Muhasabah, mahu banyak sedekah – Ruhainies sambut hari lahir bersama anak tahfiz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menginjak usia 32 tahun, pelakon, Ruhainies, memilih untuk menyambut ulang tahun kelahiran dengan berkongsi rezeki bersama anak-anak tahfiz.

Jelas Ruhainies atau nama sebenarnya, Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, ujian yang menimpanya tahun ini banyak mengajarnya untuk bermuhasabah dan memperbanyak amalan bersedekah.

“Sebelum ini, saya dan peminat akan sambut hari lahir dengan bermacam tema. Tapi tahun ini, saya minta untuk sambut dengan cara sederhana, lagi pula saya bukan muda lagi.

“Kali ini berbeza. Sebelum ini sambutan hari lahir lebih banyak gelak dan gembira, tapi tahun ini saya banyak bermuhasabah. Ujian yang menimpa membuatkan saya rasa 2024 bukan tahun saya.

“Bagaimanapun, saya anggap semua yang terjadi mempunyai hikmah tersendiri.

“Saya juga berkongsi rezeki bersama anak tahfiz. Kami memang tidak mahu ambil banyak penaja kerana mahu beramal dan bersedekah di samping berharap dilancarkan rezeki,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bercerita lanjut mengenai sambutan ulang tahun pada Sabtu, Ruhainies mengakui sebak mengenangkan kasih sayang para peminat yang tidak berhenti menyokongnya walaupun dilanda kontroversi hebat.

“Semalam ada sesi luahan perasaan antara saya dengan peminat. Sepanjang 10 tahun saya di dalam industri, mereka lihat jatuh bangun dan perkembangan saya.

“Mereka tahu luar dalam saya dan apa yang terjadi di sebalik semua ujian. Sambutan hari lahir ini pun mereka yang uruskan. Mengenangkan semua itu, saya jadi sedikit sebak,” luahnya.

Dalam pada itu, setelah 10 tahun berkerja keras, pelakon Terjerat itu merancang melancong ke luar negara sebagai hadiah kepada diri sendiri.

“Bila difikir-fikir, saya bekerja sangat keras 10 tahun ini. Ujian yang datang banyak membuatkan saya terfikir bahawa saya kurang memberi masa untuk diri sendiri.

“Sebelum masuk industri, saya pernah berniat untuk bekerja dan mengembara melihat dunia. Kini, sudah masanya saya penuhi cita-cita itu dan memberi fokus pula kepada diri sendiri berbanding orang lain,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×