Mengaku tak bersalah tipu jual emas, telefon pintar

Mengaku tak bersalah tipu jual emas, telefon pintar

Anita (tengah) dan Brenda (dua dari kanan) ketika tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Dua wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan iaitu menipu menjual emas dan telefon pintar berjumlah RM8,840 antara Februari hingga Julai lalu.

Tertuduh, K. Brenda Priya, 24, dan Aneta Yvette Peter Edward, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan.

Berdasarkan kertas pertuduhan pertama hingga ketiga, kedua-dua wanita itu secara bersama didakwa memperdaya tiga individu supaya menyerahkan wang berjumlah RM8,840 bagi urusan penjualan emas dianggarkan seberat 116 gram (g) dan sebuah telefon pintar jenis iPhone 15 Pro Max.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di beberapa lokasi dalam daerah Seberang Perai Tengah antara 5 Februari hingga 9 Julai lepas.

Sehubungan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta hendaklah dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Anis Suhada Rosli manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam yang dikenali sebagai Steven.

Terdahulu, ketika prosiding, Anis Suhada memohon agar masing-masing dikenakan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan dihadapi kedua-dua tertuduh.

Bagaimanapun, peguam merayu jaminan rendah dikenakan memandangkan kedua-dua anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap manakala Aneta yang memiliki seorang suami Orang Kurang Upaya (OKU) selain sedang hamil lapan minggu.

Mahkamah kemudiannya membenarkan ikat jamin sebanyak RM9,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 19 Ogos depan sebagai tarikh serahan dokumen.

Sementara itu, dalam prosiding yang sama, Brenda Priya turut berdepan dua lagi pertuduhan berhubung penjualan emas dan iPhone 15 Pro Max yang menyebabkan mangsa menanggung kerugian sebanyak RM7,190.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu dalam daerah sama antara 28 Februari hingga 19 Jun 2024.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan Majistret kemudiannya membenarkan dia diikat jamin sebanyak RM6,000 untuk kedua-dua pertuduhan serta menetapkan tarikh sama bagi serahan dokumen.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×