Mekanisme pelarasan gaji penjawat awam diumum bulan depan 

 Mekanisme pelarasan gaji penjawat awam diumum bulan depan 

ZALIHA MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perincian berkenaan mekanisme pelarasan gaji penjawat awam akan diumumkan serentak dengan pelancaran Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang dijadualkan bulan depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, perkara itu dijangka diumum pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19.

“Jabatan Perkhidmatan Awam akan mengeluarkan Pekeliling Perkhidmatan berkenaan pelaksanaan SSPA yang menjelaskan mekanisme pelaksanaannya,” kata beliau  dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat semalam.

Beliau menjawab soalan Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) yang mahu Perdana Menteri menyatakan perincian berhubung mekanisme kenaikan gaji penjawat awam termasuk kajian kebolehlaksanaan yang dijalankan serta sumber tambahan yang dianggarkan  mencecah RM10 bilion bagi tujuan menampung unjuran peningkatan belanja mengurus.

Kata Zaliha, pemberian pelarasan gaji kali ini juga dijangka lebih tinggi berbanding pelarasan gaji terakhir yang diterima oleh penjawat awam pada 2012 iaitu sebanyak 13 peratus.

“Keputusan ini telah mengambil kira pelbagai aspek sosial dan ekonomi serta kemampuan kewangan kerajaan,” katanya.

SSPA yang baharu itu sebelum ini dijangka diumum sebelum akhir tahun ini, selepas 10 tahun gaji kakitangan kerajaan tidak dinaikkan yang mendorong pelbagai pihak terutama kesatuan perkhidmatan awam supaya kerajaan membuat pembaharuan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentang Belanjawan 2024 di Parlimen pada 13 Oktober tahun lalu  mengumumkan pelaksanaan penuh SSPA akan dibuat bermula 2025.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN