MCA kesal pelajar 10A bukan bumiputera gagal ke matrikulasi

MCA kesal pelajar 10A bukan bumiputera gagal ke matrikulasi

WEE KA SIONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: MCA melahirkan rasa kecewa selepas beberapa pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bukan bumiputera yang cemerlang gagal dalam rayuan mereka untuk mendaftar ke program matrikulasi kerajaan.

Presidennya, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, beliau berasa sedih apabila pejabatnya serta Pemuda MCA menerima panggilan daripada ibu bapa yang tidak berdaya kerana anak-anak mereka gagal mendapat tempat dalam program matrikulasi semalam.

“Apabila keputusan rayuan diumumkan pada pukul 3 petang tadi (semalam), ramai yang memperoleh 10A gagal memasuki program tersebut. Meskipun, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membuat pengumuman rasmi tentang keputusan Kabinet, namun pelajar cemerlang tetap gagal memasuki Kolej Matrikulasi.

“Mereka hampa buat kali kedua. Saya turut berasakan kesedihan para pelajar kerana mereka sangat kecewa apabila gagal dalam percubaan rayuan mereka walaupun mendapat 10A atau 9A,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Terdahulu, kerajaan memberi jaminan semua lepasan SPM yang memperoleh keputusan cemerlang 10A dan ke atas serta memohon melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, akan mendapat tempat tanpa mengira kaum atau latar belakang.

Anwar berkata, pengumuman keputusan kerajaan itu sedikit sebanyak meredakan suhu ketegangan yang terpaksa dihadapi Kementerian Pendidikan (KPM) setiap tahun.

Ka Siong juga mempersoal bagaimana partinya boleh membantu pelajar yang gagal mendapatkan tempat di Kolej Matrikulasi.

“Baru-baru ini, Perdana Menteri mengumumkan bahawa pelajar yang memperoleh 10A dijamin tempat dalam program matrikulasi tetapi dengan keputusan yang mengecewakan pada hari ini (semalam), bagaimana saya boleh membantu mereka?

“Ramai ibu bapa kecewa kerana mereka dan anak-anak mereka mempunyai harapan yang tinggi untuk diterima ke dalam program tersebut tetapi kini impian mereka musnah. Bolehkah Perdana Menteri membantu mereka?” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×