GEORGE TOWN : Sekurang-kurangnya enam pemilik iklan di sekitar bandar ini dikesan masih lagi aktif memasang iklan secara haram walaupun telah beberapa kali diberikan notis peringatan serta berdepan tindakan undang-undang daripada pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
Ahli Majlis MBPP, Tan Soo Siang berkata, sehubungan itu, pihaknya terpaksa mengambil tindakan akhir terhadap pelaku tersebut dengan mengemukakan nombor telefon mereka kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk dibatalkan.
Katanya, tindakan tersebut diambil di bawah Seksyen 263(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
“Untuk tahun ini sahaja (2024), terdapat 16 nombor telefon yang telah dikesan mengulangi kesalahan yang sama dan kebanyakan iklan haram ini melibatkan agen hartanah, pusat tuisyen serta pinjaman wang.
“Semua nombor telefon ini telah dihantar kepada SKMM sejak April lalu dan ketika ini, nombor-nombor berkenaan telah dibatalkan taliannya.
“Ketika ini juga, MBPP dalam proses untuk mengumpul kesemua nombor yang dipasang semula atau nombor baharu dan prosedur yang sama akan dilakukan kepada kesemua yang ingkar dengan syarat dan peraturan yang digariskan oleh Majlis,” katanya di sini, hari ini.

Difahamkan, setiap tahun, Pasukan Banner Haram Jabatan Penguatkuasaan dan Unit Iklan Jabatan Pelesenan MBPP akan menurunkan antara 7,000 hingga 10,000 keping iklan pelbagai jenis yang dipasang secara tidak sah.
Untuk rekod pula iaitu sehingga bulan lepas, sebanyak 3,230 iklan haram telah diturunkan meliputi 1,082 gegantung, 887 sepanduk, 247 iklan pinjaman wang; 1,009 iklan kecil dan lima papan iklan kecil.-UTUSAN










