BUKIT MERTAJAM : Mayat dua wanita dijumpai dalam keadaan berbau dalam sebuah kereta jenis Honda WRV berwarna putih di Taman Sri Rambai, di sini petang semalam.
Mayat kedua-duanya yang belum dikenal pasti identiti setakat ini itu ditemukan oleh orang awam yang kemudian melaporkannya kepada pihak polis.
Hasil pemeriksaan pihak polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Bandar Perda mendapati, kedua-dua mayat yang berada di bahagian tempat duduk hadapan itu sudah sudah kembung dan berbau busuk.
Difahamkan, berkemungkinan kedua-dua mangsa telah meninggal dunia lebih lima hari yang lalu berdasarkan kepada keadaan mayat tersebut.
Selain itu, terdapat nombor telefon yang dipercayai milik ahli keluarga salah seorang mangsa turut ditemukan di papan pemuka atau ‘dashboard’ kereta terbabit.
Sementara itu, JBPM Bandar Perda dalam kenyataannya, memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan membuka pintu kereta terkunci pada jam 7.41 malam.
Katanya, pasukan penyelamat seterusnya berjaya membuka pintu kereta yang terkunci itu dengan menggunakan peralatan khas.
Jelas kenyataan itu, sebaik sahaja mayat berjaya dikeluarkan, operasi tersebut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan mayat kedua-dua mangsa pula dibawa ke Unit Forensik Hospital Bukit Mertajam (HBM) untuk bedah siasat.-UTUSAN










