KUANTAN: “Sebenarnya sampai sekarang makcik masih ‘menantikan’ panggilan telefon arwah walaupun hakikatnya dia sudah tiada.”
Itu luah ibu Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, anggota yang terbunuh dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor pada Mei lalu.
Aini Mohd. Sharif, 57, berkata, kenangan kali terakhir membuat panggilan video bersama anaknya itu sebelum kejadian masih kekal segar dalam ingatannya.
Malah katanya, kerana sudah terbiasa menjawab panggilan video anaknya terutama apabila tiba hari gaji membuatkan Aini sehingga kini masih menantikan panggilan telefon anaknya itu.
“Saya dengan arwah memang sangat rapat dan kami kerap membuat panggilan video bersama. Dia akan telefon bila setiap kali gaji beritahu ada masukkan duit untuk saya.
“Jadi, bila tiba hari gaji, saya jadi tertunggu-tunggulah panggilan dia walaupun saya tahu dia sudah tiada,” ujarnya sebak.
Aini dan suaminya, Ahmad Said Md. Piah, 65, ditemui pemberita ketika hadir bagi menerima sumbangan RM13,000 disampaikan Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (Respa) Malaysia di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini, semalam.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Presiden Respa, Datuk Meor Chek Hussien Mahayuddin dan disaksikan oleh Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman dan Pengerusi Respa Pahang, Che Arifin Mohd. Ali.
Ahmad Said pula berkata, wang yang disumbangkan terbabit akan dimanfaatkan sepenuhnya, justeru, merakamkan penghargaan atas sumbangan yang diberikan.
Meor Chek Hussien berkata, pihaknya berjaya mengumpul sumbangan sebanyak RM34,000 dari ahli persatuan dan orang awam yang turut menyumbang.
“Kutipan dilakukan sejak sebulan lalu dan sebanyak RM34,000 berjaya dikumpul di mana hasil kutipan ini, RM13,000 masing-masing diberikan kepada dua mangsa yang terkorban dan RM8,000 diberikan kepada seorang mangsa yang cedera.
“Sumbangan ini bagi memberi kesedaran kepada orang ramai betapa tingginya pengorbanan anggota keselamatan dalam menjaga kedaulatan negara dan masyarakat,” ujarnya. – UTUSAN











