KUALA LUMPUR : Masalah kekurangan jurubahasa mahkamah perlu diatasi bagi memastikan perjalanan kes tidak lagi tertangguh.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran berkata, masalah berkenaan sudah berlarutan sejak bertahun lamanya, sekali gus tindakan harus diambil dengan segera.
“Saya sendiri sedar banyak kes tertangguh atau tidak dapat diteruskan kerana kekurangan jurubahasa.
“(Bagaimanapun) tindakan akan diambil untuk mengisi semua kekosongan yang ada dan memberi lebih banyak peluang kepada jurubahasa untuk maju dalam kerjaya dan meningkatkan kemahiran mereka,” katanya semasa penggulungan Rang Undang-undang Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) di Dewan Rakyat , hari ini.
Terdahulu, RSN Rayer (PH-Jelutong) melahirkan kebimbangan mengenai kekurangan jurubahasa untuk bahasa tertentu, termasuk bahasa Tamil, Cina dan Orang Asli, terutamanya apabila menterjemah keterangan daripada kanak-kanak dalam kes penderaan atau jenayah seksual.
Rayer pada sesi penggulungan itu juga turut menyatakan kepentingan mempunyai jurubahasa mencukupi, terutamanya di kawasan luar bandar Sabah dan Sarawak.
“Apabila kita mengambil kenyataan daripada kanak-kanak di mahkamah, jurubahasa memainkan peranan penting terutamanya jika jurubahasa adalah seseorang yang menterjemah kenyataan kanak-kanak itu untuk mahkamah supaya mahkamah boleh memahami dan membuat keputusan.
“Jika kita tidak mempunyai jurubahasa bertauliah yang boleh menterjemah kenyataan itu, kita tidak akan mencapai matlamat walaupun undang-undang ini dipinda,” kata Rayer. –UTUSAN











