Masalah capaian internet masih berlarutan

Masalah capaian internet masih berlarutan

NAZIZ Abdul Zaman terpaksa keluar dari rumah untuk mencari talian telefon untuk berhubung di Kampung Kedai Lama, Rantau Panjang, Kelantan. – UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

AKSES telekomunikasi seperti capaian internet lemah masih membelenggu penduduk di sesetengah kawasan di sebalik perkembangan teknologi rangkaian generasi kelima (5G) di negara ini.

Malah, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 mendedahkan matlamat untuk memperluas liputan dan ketersambungan internet berkelajuan tinggi di kawasan luar bandar melalui peruntukan kewangan kerajaan belum tercapai sepenuhnya.

Tinjauan di beberapa negeri mendapati, masalah capaian internet yang lemah dan tidak stabil menyebabkan ada dalam kalangan penduduk terpaksa menggunakan perkhidmatan syarikat telekomunikasi (telco) dari negara jiran untuk berhubung. Masalah itu juga mengganggu kelancaran urusan seharian termasuk dalam kalangan peniaga dan proses pembelajaran.

Ikuti laporan wartawan Utusan Malaysia berhubung masalah ini.

RANTAU PANJANG: Masalah capaian internet yang lemah menyebabkan ada dalam kala­ngan penduduk di sempadan Malaysia-Thailand, khususnya di daerah ini terpaksa menggunakan perkhidmatan syarikat telekomunikasi (telco) dari negara jiran untuk berhubung.

Dakwa penduduk, capaian internet yang ditawarkan oleh penyedia perkhidmatan negara jiran itu lebih stabil berbanding syarikat tempatan menyebabkan mereka selesa menggunakannya.

Seorang penduduk dikenali sebagai Yie, 40, berkata, sudah lima tahun dia menggunakan perkhidmatan internet dari negara jiran.

“Biasanya perkhidmatan telco tempatan mengalami gangguan setiap kali banjir. Jadi, sepanjang tempoh itu saya bergantung harap sepenuhnya kepada telco negara jiran untuk berhubung menggunakan data internet.

“Saya tidak mempunyai masalah untuk membeli data kerana mempunyai saudara di negara jiran. Jadi, dia bantu saya untuk membeli data,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Yie memberitahu, bagaima­napun perkhidmatan syarikat telekomunikasi Thailand hanya dapat digunakan di kawasan sekitar Sungai Golok dan Zon Bebas Cukai Rantau Panjang.

Bagi Naziz Abdul Zaman, 47, dia terpaksa menggunakan tiga rangkaian syarikat telekomunikasi untuk memudahkan perhubungan.

Katanya, tindakan itu terpaksa diambil apabila capai­an perkhidmatan syarikat te­lekomunikasi di sesetengah kawasan lemah sekali gus memberikan kesukaran kepadanya untuk berkomunikasi.

“Sebagai contoh, jika talian A lemah, saya akan tukar kepada B atau C dan begitulah sebaliknya. Bagaimanapun, ia bergantung kepada kekuatan telco pada waktu itu,” katanya.

Seorang ibu, Faizah Ahmad, 42, berkata, masalah capai­an internet dan talian lemah menganggu sesi pembelajaran dalam talian anaknya.

Katanya, bagi mengatasi masalah itu dia terpaksa menggunakan perkhidmatan Unifi bagi memastikan sesi pembelajaran anak-anak tidak terganggu.

“Jadi saya berharap pihak berkenaan dapat turun padang dan melihat sendiri masalah talian telefon yang dihadapi oleh penduduk di Kampung Te­laga Mas,” ujarnya.

GANGGU URUSAN JUAL-BELI

Sementara itu, capaian internet di sesetengah lokasi khususnya di kawasan sempadan Padang Besar, Perlis didakwa masih lemah sekali gus menyebabkan golongan peniaga di arked niaga Padang Besar dan guru sekolah terjejas.

Keadaan itu dikatakan berlarutan sejak beberapa tahun lalu dan masih tiada penyelesaian tuntas sekali gus menyukarkan masyarakat setempat untuk mendapatkan capaian kemudahan internet.

PENIAGA di kawasan Arked Niaga Padang Besar mendakwa sering berdepan masalah melakukan transaksi secara dalam talian disebabkan isu capaian internet masih lemah.
– UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD

Seorang peniaga di arked niaga Padang Besar, Fazuin Abdul Razak, 38, berkata, capaian internet yang lemah amat mengganggu urusan jual beli berikutan kebanyakan pengunjung luar lebih memilih menggunakan transaksi secara dalam talian.

Katanya, apabila pengunjung ingin membuat pembayaran secara dalam talian, mereka sering berdepan masalah internet yang lemah itu.

“Malah mereka juga sukar untuk mengeluarkan wang di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) kerana kedudukannya jauh dan bukannya berada dalam kawasan arked niaga di sini,” katanya.

Sementara itu, seorang bapa kepada murid sebuah sekolah di sini, dikenali sebagai Abdul Muhaimin, 45, mendakwa, selain peniaga, guru turut berdepan masalah sama apabila capaian internet dikatakan sangat perlahan sehinggakan menyukarkan proses pengajaran dan pembelajaran (PnP).

Katanya, keadaan tersebut akan mempengaruhi proses PnP yang pada masa kini banyak bergantung kepada kaedah penca­rian bahan secara digital.

“Kawasan sekolah ini berada berhampiran sempadan dan di­sebabkan itulah capaian internet sangat lemah dan mengganggu proses PnP,” katanya.

PENCAWANG TELEKOMUNIKASI JADI PERHIASAN

Dalam pada itu, pemasangan pencawang telekomunikasi di Kampung Bukit Hangus, Jeneri, Sik, Kedah pada 2022 menggembirakan penduduk di kawasan pedalaman itu yang diyakini mampu mengatasi masalah capaian internet.

Namun, harapan setinggi gunung penduduk di kampung itu tidak ke mana apabila pencawang yang dikatakan akan siap pada penghujung tahun lalu kini belum berfungsi dan hanya dilengkapi lampu.

PENCAWANG telekomunikasi yang dipasang berhampiran sebuah rumah di Kampung Bukit Hangus, Jeneri di Sik, Kedah. – UTUSAN/NORLIA RAMLI

Penduduk, Bahari Manai, 60, berkata, tiada peralatan lain yang dipasang di pencawang itu menyebabkan gangguan talian telefon dan internet terus berlaku di kawasan mereka.

“Difahamkan ketika pemasangan pencawang tersebut, semua jenis talian ditawarkan syarikat telekomunikasi (telco) dapat diperoleh, namun sehingga sekarang masalah internet terus berlaku.

“Ketika pemasangan, mereka berjanji akan siap sepenuhnya pada penghujung tahun lepas tapi sehingga kini mereka tidak melakukan apa-apa pun dan pencawang berkenaan terbiar begitu sahaja,” katanya.

Sementara itu, Suhaida Zaka­ria, 28, turut berhadapan ­kea­daan internet di rumah ibunya di Kampung Tembak A yang sukar mendapat capaian.

“Liputan internet di sini memang teruk, kadangkala tiada langsung, sukar untuk membuka mana-mana rangkaian media sosial sehingga terlepas pengetahuan atau isu mengenai dunia luar.

“Di kawasan rumah abang di Kampung Tembak B juga langsung tiada rangkaian, sebelum ini internet masih memuaskan, tetapi sekarang menjadi masalah kepada kami terutama kanak-kanak yang perlu mendapatkan bahan-bahan sekolah daripada internet,” katanya.

PERNAH GUNA GALAH UNTUK CAPAIAN INTERNET

Terletak hampir 20 kilo­meter dari jalan utama, lima buah kampung di Teluk Intan, Pe­rak pernah menggunakan alat booster yang dipasang pada galah panjang atau batang pencantas pelepah kelapa sawit untuk menambah kekuatan isyarat capaian internet.

Keadaan itu berlaku di Kampung Sungai Samak, Sungai Payung, Sungai Licin, Sungai Rasau dan Bagan Lalang sehingga menyukarkan perhubungan penduduk dan pelajar yang mahu mengikuti pengajian secara dalam talian terutama semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) akibat wabak Covid-19.

Malah difahamkan, galah yang dipasang alat booster ada yang mencecah ketinggian 40 kaki.

PENDUDUK menunjukkan galah panjang yang dipasang booster untuk mendapatkan capaian internet di Kampung Sungai Samak di Teluk Intan, Perak. Namun penggunaannya sudah tiada lagi di kampung itu sejak dua tahun lalu. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN

Namun masalah itu berakhir selepas isu capaian internet rendah di kampung terlibat disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia pada 19 Jun 2021.

Tindakan pantas kerajaan segera mengatasi masalah tersebut dengan pembinaan sebuah pencawang telekomunikasi di kampung itu yang dibina sejak dua tahun lalu dan masalah capaian internet rendah di kampung tersebut sudah diatasi.

Bagi penduduk, pengalaman menggunakan booster yang dipasang pada galah panjang atau batang pencantas pelepah kelapa sawit tidak boleh dilupakan sehingga kini.

Bagi mereka, galah panjang itu merupakan satu kenangan betapa sukarnya untuk mereka mendapatkan capaian internet satu ketika dahulu dan menghargai usaha kerajaan mengatasinya.

Penduduk Sungai Samak, Siti Hamidah Ibrahim, 60, berkata, kedudukan kampung itu yang jauh dari jalan besar menyebabkan capaian internet sukar diperoleh penduduk suatu ketika dahulu.

Katanya, penduduk tiada pilihan selain daripada menggunakan booster yang dipasang menggunakan galah panjang atau batang pencantas pelepah kelapa sawit demi mendapatkan internet.

“Dulu itulah cara penduduk di sini nak dapatkan internet terpaksa beli alat booster dan kemudian dipasang guna galah panjang atau batang pencantas pelepah kelapa sawit supaya alat tersebut berada di tempat tinggi.

“Masa itu, alat booster perlu dipusing-pusingkan supaya dapat capaian internet. Bukan itu sahaja, nak beli alat itu habis juga RM600 kalau termasuk wayar, habis hingga RM1,000.

“Namun sejak menara pemancar syarikat telco di pasang di kampung ini tiada lagi masalah capaian internet. Anak-anak pun mudah nak belajar secara online,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Sungai Samak, Ahmad Hilmi Yunus berkata, penggunaan galah panjang untuk mendapatkan capaian internet sudah tiada lagi di kampung itu sejak dua tahun lalu.

PERAK TINGKAT AKSES TELEKOMUNIKASI KAWASAN PEDALAMAN

Sementara itu, akses bagi perkhidmatan telekomunikasi di Perak semakin baik terutama melibatkan kawasan-kawasan perumahan dan pinggir bandar.

Bagaimanapun Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Perak, Mohd. Azlan Helmi berkata, kerajaan negeri akan terus meningkatkan akses telekomunikasi di kawasan pedalaman, pergunungan, berbukit, hutan lipur dan pulau.

“Saya mengakui akses telekomunikasi di kawasan pedalaman, pergunungan, berbukit, hutan lipur dan pulau di negeri ini masih banyak lagi yang perlu dipertingkatkan.

“Secara dasar liputan itu ada dan jelas tetapi jika masuk ‘ke dalam sangat’ liputan itu mungkin terhad atau tiada,” katanya.

Katanya lagi, pelbagai pertimbangan yang diambil-kira bagi pembinaan infrastruktur telekomunikasi di kawasan pedalaman dan sukar diakses secara fizikal.

“Banyak perkara perlu dihalusi dan melibatkan pelbagai jabatan seperti status tanah, pokok-pokok balak, bekalan elektrik dan akses secara fizikal,” katanya.

“Selain itu, ia melibatkan kos yang tinggi namun ada projek pembinaan infrastruktur telekomunikasi yang telah berjaya seperti di Kampung Manong di Kuala Kangsar dan Pulau Pangkor yang memudahkan rakyat di kawasan itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×