GEORGE TOWN : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang melupuskan 21 vesel nelayan asing (VNA) di pekarangan Limbongan Batu Maung, dekat sini, semalam.
Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Razali Kasim berkata, VNA itu dimusnahkan dengan cara musnah dan buang ke dalam laut.
“Terdapat sebuah bot daripadanya pernah ditahan oleh Maritim Malaysia pada 2022, 19 VNA yang lain ditahan pada 2023 manakala sebuah lagi bot ditahan pada awal 2024,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, ketika ini, Maritim Malaysia telah menggunakan dua kaedah pelupusan iaitu kaedah musnah pecah serta kaedah tenggelam untuk dijadikan tukun dalam mengendalikan kes seperti ini.
“Setakat ini, hanya 21 VNA telah dilucut hak dan perlu dilupuskan,” katanya.-UTUSAN










