KUALA LUMPUR: Negara bakal mengalami pengucupan penduduk buat pertama kali pada 2072 sekiranya kadar kesuburan jumlah (KKJ) yang menunjukkan penurunan ketara tidak diselesaikan dengan kadar segera.
KKJ merujuk kepada bilangan anak yang dilahirkan sekiranya seseorang wanita terus hidup hingga akhir tempoh reproduktifnya iaitu antara umur 15 hingga 49 tahun.
Berdasarkan Laporan Perangkaan Penting 2023 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), KKJ di Malaysia menunjukkan penurunan yang semakin ketara dari 2.1 orang anak pada 2010 kepada 1.6 orang anak pada 2022.
Penurunan itu menunjukkan KKJ di negara kini berada di bawah paras penggantian iaitu 2.1 orang anak dan membangkitkan kebimbangan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, trend penurunan itu memerlukan intervensi secara menyeluruh.
Ini kerana, menurut beliau, KKJ yang menurun akan mempercepatkan populasi penuaan dan dijangka 15 peratus penduduk Malaysia adalah berumur 60 tahun ke atas pada tahun 2030.
“Sekiranya trend ini berterusan, Malaysia akan mengalami penguncupan penduduk buat kali pertama pada 2072. Negara diunjurkan akan kekal bertambah sehingga mencecah jumlah tertinggi seramai 46.09 juta orang pada 2071.
“Namun ia akan mula berkurangan kepada 46.08 juta orang pada 2072 dan kekal berkurang sehingga mencecah 44.58 juta orang pada tahun 2100,” katanya ketika Majlis Pelancaran Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Ke-6 (KPKM-6) 2024 di Auditorium Asian International Arbitration Centre (AIAC), di sini.
Mengulas lanjut, Nancy berkata, trend tersebut juga akan meningkatkan tekanan ke atas bekalan tenaga kerja dan bakat negara sama ada sekarang mahupun semasa generasi seterusnya.
“Tenaga kerja kita diunjurkan akan berkurang daripada 65.5 peratus pada tahun 2020 kepada 63.5 peratus pada tahun 2030, dan akan terus berkurang menjelang tahun 2050.
“Kita memang sudah mempunya masalah dengan penyertaan buruh wanita yang mana ketika ini hanya mencapai 56 peratus sahaja,” katanya.
Beliau berkata, terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada penurunan KKJ iaitu termasuk faktor ekonomi dan gaya hidup yang antaranya boleh mempengaruhi keputusan pilihan umur untuk mereka berkahwin, bilangan anak, masalah ketidaksuburan serta sebagainya.
Oleh kerana itu, katanya, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui agensinya melaksanakan pelbagai inisiatif iaitu perkhidmatan kesuburan, klinik kesejahteraan lelaki, inisiatif kewangan dari pengecualian cukai bagi rawatan kesuburan serta penyaluran subsidi yurang pengasuhan taska dan lain-lain.
“Namun, inisiatif masih belum mencukupi. Sebagai contoh, Kajian Indeks Kesejahteraan Keluarga Malaysia (IKK) oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menunjukkan bahawa Indikator Imbangan Masa Kerja-Keluarga merosot dalam IKK 2022 berbanding IKK 2019.
“ManakalaKPKM Ke-5 mendapati bahawa lebih satu pertiga atau 34.2 peratus daripada wanita yang bekerja menyatakan mereka memerlukan pusat penjagaan kanak-kanak di tempat kerja, diikuti dengan kemudahan cuti untuk menjaga anak yang sakit (17.8 peratus) dan waktu kerja anjal (13.7 peratus).
“Penemuan KPKM-5 ini dikukuhkan lagi apabila di kalangan wanita yang telah berhenti kerja (adalah sebanyak) 42.4 peratus, satu pertiga dari mereka menyatakan sebab utama mereka berhenti kerja adalah disebabkan masalah penjagaan anak (32.4 peratus),” jelasnya.
Jelasnya, perkara tersebut menandakan negara memerlukan keseimbangan antara kehidupan dan kerja serta waktu yang lebih fleksibel.
“Kenapa wanita bekerja? Ini kerna isi rumah di mana kedua-duanya bekerja mempunyai pendapatan lebih 61 peratus di persekitaran bandar bebanding keluarga di mana hanya seorang pasangan bekerja.
“Manakala, di kawasan luar bandar, perbezaan itu menjadi hampir 74 peratus lebih. Ini adalah data yang kita hayati dan kita mesti bertindak ke atasnya,” ujarnya.
Tambahnya, kerajaan memerlukan kerjasama semua pihak untuk menangani isu pembangunan penduduk demi menjaga kesejahteraan negara dan rakyat pada masa akan datang. – UTUSAN







