Malaysia alu-alukan persefahaman Fatah, Hamas

Malaysia alu-alukan persefahaman Fatah, Hamas

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia mengalu-alukan persefahaman dan perpaduan antara Fatah dan Hamas yang pastinya akan memperkukuh solidariti warga Palestin. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Deklarasi Beijing ternyata adalah langkah yang amat penting terutama dalam mencapai hak dan kebebasan buat rakyat Palestin.  

Beliau merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Republik Rakyat China dalam memudahcara pertemuan dan perbincangan antara Fatah, Hamas dan 12 pihak lain yang membentuk perjuangan Palestin. 

“Saya amat berharap bahawa deklarasi perpaduan ini benar-benar diterjemahkan di semua peringkat dengan jayanya, serta dalam menongkah tantangan (cabaran) di masa hadapan. 

“Perakuan antarabangsa menjadi yang terpenting saat ini, dan saya menggesa Kerajaan di seluruh dunia yang belum memperaku Negara Palestin untuk segera memperakuinya, selain memberi dukungan kepada deklarasi perpaduan ini,” katanya menerusi laman Facebook petang ini. 

Parti bertelagah Palestin, Fatah dan Hamas hari ini menandatangani perjanjian ‘kerajaan perpaduan sementara kebangsaan’ yang bertujuan membentuk pemerintahan di Gaza selepas peperangan.

Menteri Luar China, Wang Yi berkata, perjanjian tersebut dicapai di China tiga hari selepas rundingan panjang antara 14 pihak bertelagah di Palestin termasuk Fatah dan Hamas.

“Hari ini kami menandatangani perjanjian perdamaian yang bertujuan mempertahankan penguasaan Palestin terhadap Gaza selepas peperangan dengan Israel berakhir,” katanya selepas rundingan yang dianjurkan di China tersebut.

Anwar turut meminta semua pihak mesti secara bersama merencana, merangka serta memastikan sikap barbarik dan biadab Israel dihentikan. 

“Malaysia bersedia untuk mencurahkan tenaga dan keringat ke arah tersebut demi keadilan dan kebebasan,” kata beliau. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN