JERANTUT: Makam Diraja Kesultanan Pahang susur galur Kesultanan Melayu Melaka di Lubuk Pelam, Bukit Ketupat dekat sini, didakwa terbiar tanpa ada usaha konkrit menjadikannya sebagai rujukan penting sejarah negara.
Ketua Kampung Bukit Ketupat, M. Shamrah Azizi Mohd. Arshad berkata, nilai sejarah makam diraja itu sangat tinggi yang seharusnya menjadi destinasi pelancongan sejarah.
Namun katanya, pihak berkaitan tidak memulihara keberadaan tiga makam diraja di atas Bukit Ketupat tersebut.
Katanya, ia pernah dirujuk kepada Muzium Negeri Pahang lebih 20 tahun lalu dan hanya diberi salinan maklumat berkaitan Sejarah Lubuk Pelang karangan Datuk Zakaria Hitam ( Pak Zek).
“Sehingga sekarang Jawatankuasa Pembangunan dan Kemajuan Kampung ( JPKK) tidak dimaklumkan siapakah yang bertanggungjawab memelihara dan memulihara makam bersejarah itu.
“Walaupun tiada pihak mengaku hak menjaga makam itu, kain kuning yang membalut batu nisan ukiran Acheh bertukar setiap dua atau tiga bulan.
“Pihak berkenaan tidak pernah berjumpa dengan JKKK sebagai ‘tuan rumah’ berhubung kehadirannya di makam berkenaan. Kami terkilan kerana tidak dirujuk katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di Kampung Bukit Ketupat, semalam.
M. Shamrah Azizi berkata, di puncak Bukit Ketupat itu, terdapat tiga makam dipercayai Almarhum Sultan Ahmad Shah ibni Sultan Mansor Shah atau Marhum Shaikh, isterinya Puteri Berdarah Putih dan Puteranya yang mangkat semasa Acheh menyerang Bukit Ketupat.
Sementara itu, Tokoh Budaya dan Sejarawan Pahang, Datuk Dr. Aripin Said berkata, Sultan Ahmad Shah adalah anakanda kepada Sultan Mansor Shah, Melaka dengan permaisurinya Puteri Wanang Seri iaitu anak Maharaja Dewa Sura Wazir Siam.
“Apabila Melaka di zaman kegemilangannya menyerang dan menawan Pahang sekitar 1460, Puteri Wanang Seri ditawan dan dibawa balik ke Melaka seterusnya berkahwin dengan Sultan Mansor Shah,” katanya.
Menurutnya, hasil perkahwinan itu lahir dua putera iaitu Raja Muhamad dan Raja Ahmad.
“Raja Muhamad dirajakan di Pahang kerana Tun Perak tidak mahu bertuankannya berikutan peristiwa anaknya mati ditikam dalam peristiwa sepak raga.
“Raja Muhamad yang bergelar Sultan Muhamad Shah menjadi Sultan Pahang pertama dan memerintah beberapa tahun sebelum mangkat 1475 dan di makamkan di kampung Dusun Pinang, Pekan,” katanya. – UTUSAN










