Levi keuntungan luar biasa dipulang kepada industri

Levi keuntungan luar biasa dipulang kepada industri

JOHARI ABDUL GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Perladangan dan Komodi­ti (KPK) mencadangkan agar windfall tax atau levi keuntungan luar biasa dikembalikan kepada pihak industri supaya boleh meningkat produktiviti sektor kelapa sawit.

Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kutipan yang dipulangkan itu boleh digunakan untuk penanaman semula kelapa sawit.

Katanya, levi tersebut dilihat sudah tidak praktikal berikutan peningkatan kos bagi penghasilan setiap satu tan metrik mi­nyak sawit.

KOS

“Dahulu kita punya kos untuk keluar satu metrik tan lebih kurang RM1,800, tetapi sekarang nak keluarkan satu tan minyak kelapa sawit boleh mencecah hingga RM2,800 ke RM3,200 bergantung saiz.

“Kita akan bawa kepada Kementerian Kewangan (untuk) pembentangan bajet akan datang, kementerian kami dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan olah balik akses cukai levi (dan) pastikan setiap duit kita kutip pulang balik kepada mereka buat penanaman semula,” katanya menjawab soa­lan tambahan Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu) dalam sidang Dewan Rakyat, semalam.

Terdahulu, Johari berkata, jumlah produktiviti sektor kelapa sawit di negara ini masih lagi rendah berbanding Indonesia kerana negara itu membuka kawasan baharu berikutan liputan hutan mereka yang masih tinggi.

“Kalau lihat pada 2013, negara mengeluarkan 19.6 juta metrik tan dan Indonesia pada ketika itu mengeluarkan 26.5 juta metrik tan. Tetapi 10 tahun selepas itu, pada 2023 kita punya pengeluaran hanya 18.5 juta dan Indonesia 48 juta.

“Ini berlaku kerana kita tidak buka kawasan baru sebab mematuhi standard Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang kena pastikan tiada penebangan hutan… pastikan perubahan iklim tidak berlaku.

HUTAN

“Cuma dalam konteks kita dengan indonesia, Indonesia masih lagi membuka kawasan baharu kerana mungkin liputan hutan masih tinggi. Indonesia sekarang ini sudah mencecah hampir 14 juta hektar , kita ha­nya 5.7 juta hektar.

“Perkara yang menyebabkan kita ada masalah dari segi pe­ningkatan produktiviti pengeluaran kelapa sawit adalah ke­rana daripada 5.7 juta itu 4.2 juta hektar dikendalikan oleh pihak swasta dan 1.5 juta hektar oleh pengusaha kecil.

“Jadi 1.5 juta ini punya (produktiviti) telah menurun ke­rana banyak pokok mereka telah tua, tidak cukup untuk buat penanaman semula,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×