Lepasan UKM di Gaza mohon doa rakyat Malaysia

Lepasan UKM di Gaza mohon doa rakyat Malaysia

Anggota penyelamat memeriksa runtuhan melibatkan Masjid Omari, deretan kedai emas dan pasar bersejarah Qaysariyya di bandar lama Gaza yang musnah akibat serangan tentera Israel semalam. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Siswazah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang juga penduduk Gaza memohon rakyat Malaysia mendoakan keselamatan rak­yat Pa­lestin yang disifatkannya dalam keadaan sangat berbeza berbanding sebelum ini.

Asmaa Hussein Eslayeh, 31, berkata, dia dan seluruh keluarga­nya yang kini berlindung di rumah ladang bapanya dekat Khan Younis diarahkan mengosongkan kediaman tersebut oleh rejim Zionis.

Katanya, tempoh waktu diberikan untuk mereka berbuat demikian akan tamat pada pukul 6 petang semalam waktu Palestin (pukul 11 malam waktu Malaysia) sebelum rejim Zionis meningkatkan operasi ketenteraannya di kawasan tersebut sekali lagi.

“Kami sedang mengemas semua barang keperluan untuk terus hidup kerana hanya ada berbaki beberapa jam lagi untuk mengosongkan kediaman ini, pada masa sama masih lagi mencari-cari ke mana harus dituju.

“Berdasarkan situasi semasa di seluruh Gaza, kami hanya ada dua pilihan iaitu berpindah ke barat Khan Younis dan utara Deir al-Balah tetapi masih tiada tempat untuk berlindung kerana di sana juga sudah musnah.

“Saya minta jasa baik rakyat Malaysia untuk mendoakan ke­selamatan kami di Gaza kerana situasinya amat berbeza berbanding sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Asmaa turut berkongsikan nota suara (voice note) yang d­iterima keluarga daripada tentera Israel yang memaksa mereka mengosongkan kediaman, kepada Utusan Malaysia yang menggunakan bahasa Hebrew.

Selain nota suara, arahan turut dikeluarkan melalui panggilan telefon dan lain-lain.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Al-Quds Malaysia, Dr. Sharif Abu Shammala berkata, lebih 250,000 rakyat Pa­lestin di sekitar Khan Younis dan kawasan berhampiran diarahkan secara paksa meninggalkan kediaman masing-masing dalam masa tiga hari oleh rejim Zionis bagi mempertingkatkan operasi ketenteraan di kawasan tersebut.

Katanya, penduduk dan pela­rian yang berada di Khan Younis mula berpindah secara beransur-ansur sejak dua hari lalu susulan tekanan yang diberikan rejim Zionis terhadap mereka.

Pada masa sama, beliau berkata, pelarian kini dalam keadaan amat tertekan kerana sudah tiada lagi kawasan yang boleh disifatkan selamat di seluruh tanah Gaza.

“Semalam, puluhan ribu penduduk di Khan Younis terpaksa berpindah kerana serangan besar dilancarkan rejim Zionis di timur bandar itu. Sehari sebelumnya jumlah sama terpaksa keluar dari kawasan Shujaiya.

“Mereka tidak boleh ke Rafah kerana kawasan itu sudah musnah dan mungkin menjadi mang­sa pengeboman seterusnya.

“Jadi pelarian berpindah ke Deir al-Balah yang sebelum ini sudah pun musnah dan terpaksa tidur di kaki lima atau bangunan separa musnah tanpa sebarang perlindungan seperti khemah dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata, perpindahan besaran-besaran ke tengah Gaza membawa malapetaka lebih teruk kerana bantuan kemanusiaan tidak akan sampai ke kawasan itu. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN