Lelaki Israel gagal gugur pertuduhan

Lelaki Israel gagal gugur pertuduhan

AVITAM Shalom diiringi anggota polis ketika tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. - UTUSAN/ SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lelaki dari Bnei Brak, Israel, Avitan Shalom gagal membatalkan dua pertuduhan yang dihadapinya selepas Jabatan Peguam Negara menolak representasi yang dihantar awal Julai lalu.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P. Kunyalam kepada Hakim Mahkamah Sesyen, Norina Zainol Abidin pada sebutan kes itu di sini hari ini.

Sehubungan itu, pendakwa raya itu memohon agar tarikh-tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini dikekalkan dan perbicaraan diteruskan sebagaimana yang dijadualkan.

Pada 21 Mei lalu, Mahkamah menetapkan sembilan hari bermula 30 September ini untuk perbicaraan kes Shalom yang didakwa atas tuduhan memperdagangkan enam pucuk pistol dan memiliki 200 butir peluru.

Tarikh-tarikh lain yang ditetapkan ialah 1 hingga 3 Oktober yang kemudian bersambung pada 7 hingga 11 Oktober.

Pihak pendakwaan sebelum ini memaklumkan, pihaknya akan memanggil 20 orang saksi untuk memberi keterangan dalam perbicaraan terbabit.

Selain itu, Mohamad Mustaffa memohoan agar mahkamah menetapkan satu tarikh sebutan kerana masih terdapat beberapa dokumen yang belum dapat diserahkan kepada pembelaan. Dokumen-dokumen tersebut ialah laporan litar kamera tertutup (CCTV) dan analisis laporan forensik.

Norina menetapkan 2 September ini untuk sebutan semula kes.

PEGUAM TARIK DIRI

Terdahulu peguam bela, Datuk Naran Singh memaklumkan beliau menarik diri daripada mewakili Shalom.

Peguam terbabit tidak memberikan sebarang alasan spesifik kecuali menyatakan `menarik diri atas alasan peribadi’. Difahamkan, peguam bela, Navinjit Singh juga telah menarik atas alasan yang tidak diketahui.

Ketika ini, Shalom yang beralamat di Bnei Brak, Israel diwakili peguam bela, Jeffrey Ooi.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen berlainan, Hakim Azura Alwi menetapkan 6 September ini untuk sebutan semula kes dua pegawai kanan dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman yang didakwa menerima rasuah RM1.25 juta daripada ahli perniagaan.

Ia bagi membolehkan pihak pendakwaan menyerahkan bagi dokumen kepada pembelaan.

Rasuah terbabit didakwa diberikan sebagai dorongan menutup siasatan terhadap Khoo Zixian, 28, yang dikaitkan dengan jenayah matawang kripto dan pembelian senjata api oleh seorang warga Israel, April lalu.

Pada 28 Mei lalu, Ketua Penolong Pengarah Siasatan Perakaunan Forensik, Asisten Komisioner Chin Khiam Kong, 54, dan Ketua Unit Siasatan Jenayah Cryptocurrency, Deputi Superintenden Suhairon Abdullah, 42, mengaku tidak bersalah atas tuduhan rasuah tersebut.

Kedua-duanya bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Bukit Aman didakwa melakukan perbuatan itu di Menara KPJ, Jalan Tun Razak, di sini, pada 8, 18 dan 19 April lalu dan dituduh mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Hukuman bagi Seksyen itu dibuat mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuamn pemenjaraan tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi jika disabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN