Lapan usahawan Perak sertai Malaysia Fest 2024 di Singapura - Utusan Malaysia

Lapan usahawan Perak sertai Malaysia Fest 2024 di Singapura

SALBIAH Mohamed (kanan) menyampaikan Pinjaman Usahawan Perak SADC pada Jelajah Hari Usahawan dan Koperasi Negeri Perak 2024 di Seri Iskandar di Parit hari ini. - UTUSAN/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT: Kerajaan negeri menyasarkan nilai jualan sehingga RM800,000 daripada lapan usahawan negeri ini yang menyertai ekspo jualan Malaysia Fest 2024 di Singapura pada 27 hingga 30 Julai ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Lapan usahawan yang dipilih ke ekspo itu iaitu Delcasis Group Sdn. Bhd.; Chor World; Abrah Food Industries; Setia Selama Enterprise; Future Yusoff Enterprise; Mouthgasm Sdn. Bhd.; KPL Food Sdn. Bhd. dan Helmy Agrisolution Sdn.Bhd.

Mereka membawa produk seperti pes masakan, sambal, produk sedia dimakan, sos char koay teow, cili giling, sambal nasi lemak, sambal bilis rencah asam pedas dan wafer rolls, snek bilis dan lain-lain pada ekspo jualan di negara itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, penyertaan usahawan Perak pada ekspo jualan itu  membantu meningkatkan sumbangan ekonomi secara tidak langsung kepada negeri ini.

Menurutnya, program itu juga menyediakan peluang kepada usahawan terlibat untuk membina jaringan perniagaan serta mencari pengimport yang berpotensi untuk mengembangkan pasaran ke negara itu.

“Melalui program ini, kita dapat mengenal pasti kebolehpasaran dan tahap saingan produk keluaran usahawan negeri Perak di pasaran Singapura serta peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada program Jelajah Hari Usahawan dan Koperasi Negeri Perak 2024 di Dewan Serbaguna Seri Iskandar di sini hari ini.

Menurut Salbiah, penyertaan usahawan negeri Perak ke Malaysia Fest 2024 di Singapura juga akan memperkukuhkan kaedah perniagaan secara pendigitalan usahawan terlibat dari segi jualan dan promosi.

Beliau berkata, ekspo  jualan itu juga membuka ruang pasaran bagi usahawan tempatan meneroka pasaran eksport melalui Singapura.

“Mengikut rekod, penyertaan usahawan dari negeri ini, Syarikat Emperia Asia International Sdn. Bhd. berjaya membuka satu cawangan di Singapura pada tahun lalu dan beberapa syarikat yang lain juga berjaya menembusi pasaran Singapura,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Zolkafly Harun berkata, kerajaan negeri dengan kerjasama Sekretaria­t Usahawan Negeri Perak (STeP) dan FAMA menaja lapan usahawan itu ke ekspo tersebut.

“STeP dan FAMA diharapkan dapat membantu usaha mengetengahkan lebih ramai usahawan agro negeri Perak ke peringkat antarabangsa,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini